KUALA TERENGGANU : Seramai 59 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di seluruh Terengganu bermula dari pukul 7 malam semalam hingga pukul 4 petang tadi.
Bayi tersebut membabitkan seramai 32 bayi lelaki dan 27 bayi perempuan.
Daripada jumlah itu, seramai 38 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), 10 bayi di Hospital Kemaman, enam (Hospital Besut), tiga (Hospital Dungun) dan dua (Hospital Hulu Terengganu).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kesemua bayi bertuah itu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai RM100 dan hamper bernilai RM50.
Menurutnya, sumbangan melalui program Permata Maulidur Rasul itu telah bermula sejak tahun 2013 bertujuan menghargai pengorbanan golongan ibu dalam melahirkan zuriat mereka.
“Alhamdulillah, dalam program ziarah ibu-ibu bersalin di wad HSNZ bersama Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr, Kasemani Embong ini, semuanya berada dalam keadaan yang sihat.
“Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah Maulidur Rasul dan berharap semua bayi ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa mereka ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis meraikan kelahiran bayi Permata Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu 1445 Hijrah di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang ibu, Mimi Azuani Mohd. Lazim, 36, berkata, kelahiran bayi ketiganya pada hari ini sangat istimewa kerana mengikut perkiraan doktor, bayinya itu sepatutnya dilahirkan pada 3 Oktober depan.
“Semalam, saya dalam perjalanan balik ke kampung halaman di Bachok, Kelantan namun ketika sampai di sekitar Kijal melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2), saya dah mula rasa sakit perut seolah-olah hendak buang air besar.
“Terpaksa minta suami carikan tandas di hentian rehat dan rawat berdekatan, namun sakitnya masih belum reda menyebabkan saya mula mengesyaki ia adalah tanda sakit hendak bersalin.
“Waktu itu, sekitar pukul 4 petang, jadi suami terus memandu menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan setibanya di hospital pada pukul 6.50, terus dimasukkan ke bilik bersalin dan berjaya melahirkan bayi perempuan seberat 3.4 kilogram (kg) pada pukul 7.13 malam tadi,” katanya. – UTUSAN