47 peratus kawasan berisiko tinggi dadah dipulihkan -AADK

47 peratus kawasan berisiko tinggi dadah dipulihkan -AADK

SHAMSUL Anuar Nasarah (dua dari kiri) menyerahkan kad Kempen 1 Juta Ahli Skuad Antidadah kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi (kanan) pada Hari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Masyarakat di IWK Eco Park di sini, semalam..-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 peratus atau 73 kawasan berisiko tinggi (KBT) penagihan dadah berjaya diturunkan risikonya ke tahap rendah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sehingga Ogos lalu.

Malah, sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada akhir tahun ini adalah sebanyak 78 daripada 155 KBT akan berada pada tahap risiko rendah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebanyak 155 KBT dikenal pasti untuk ditukar kepada kawasan berisiko rendah secara berperingkat-peringkat. 

Shamsul Anuar menambah, sasaran AADK adalah untuk menurunkan risiko dan mengekalkannya di bawah kategori risiko rendah penagihan dadah di semua kawasan tersebut menjelang akhir tahun 2025.

“Pada masa yang sama, satu skuad antidadah yang terbuka kepada golongan belia juga mencecah 100,000 orang. Dengan itu, satu kempen ke arah sejuta ahli skuad antidadah akan saya lancarkan untuk menggiatkan lagi pelbagai program dan aktiviti gaya hidup sihat di 176 daerah di seluruh negara.

“Pola penyalahgunaan dadah di negara kita pada hari ini telah beralih kepada dadah jenis sintetik di mana pada tahun 2022, sebanyak 65 peratus daripada penagih dadah yang menjalani rawatan dan pemulihan di fasilitator AADK adalah remaja dan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian penutup Program Hari AADK Bersama Masyarakat di IWK Eco Park Pantai Dalam, di sini, hari ini. 

Shamsul Anuar berkata, lebih membimbangkan apabila keseluruhan penagih dadah yang dikesan,60 peratus daripada mereka masih tinggal bersama keluarga. 

“Pengambilan dadah jenis sintetik ini tidak perlu lagi di port-port tertentu, sebaliknya dilakukan di dalam rumah masing-masing. Selain daripada rupa bentuk dan pembungkusannya boleh menyerupai produk-produk biasa.

“Bukan setakat itu, akses untuk mendapatkan dadah sintetik ini semudah hanya dengan membuat pesanan melalui platform dalam talian dan dihantar melalui khidmat penghantaran yang sama dengan produk lain,” katanya. 

Beliau menambah, setiap rakyat perlu memastikan pencegahan dadah bermula di rumah, pastikan rumah kediaman masing-masing tidak ditembusi dengan bekalan dadah dan tidak ada permintaan terhadap dadah dalam kalangan ahli keluarga. 

“Bagi mereka yang telah tersilap langkah dan terjebak dengan penagihan dadah, AADK menyediakan program rawatan dan pemulihan yang komprehensif. Program ini merangkumi rawatan pemulihan dalam komuniti dan rawatan dalam institusi bagi mereka yang hadir secara sukarela atau diperintahkan oleh mahkamah. 

“Selain itu, penagih dadah juga boleh hadir secara sukarela untuk menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan dadah persendirian atau swasta yang berdaftar dengan KDN ataupun di fasiliti-fasiliti yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, dadah terbukti meruntuhkan institusi keluarga dan membawa masalah pelencongan sosial dalam masyarakat seperti jenayah, pemulauan dan sengketa disebabkan kemerosotan ekonomi keluarga dan ketirisan wang disebabkan kebergantungan terhadap dadah.

“Implikasi pengambilan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada sistem biologikal diri seseorang seperti kerosakan saraf, hilang kewarasan dan mengundang pelbagai penyakit bahaya, malahan berlaku perubahan tingkah laku seperti menipu, mencuri dan agresif sehingga sanggup membunuh untuk mendapatkan wang membeli bahan berkenaan.

“Kami di KDN berpandangan bahawa kawalan kendiri oleh instituisi kekeluargaan dan juga masyarakat setempat amat diperlukan bagi menghadapi ancaman ini. Ketua keluarga juga perlu menjaga rumah masing-masing sebagaimana KDN mengawal negara. Langkah sedemikian diyakini dapat menyekat permintaan serta mengurangkan permintaan kepada bekalan dadah dan bahan terlarang di negara ini,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya