41 pegawai, anggota bomba dikenakan hukuman - Utusan Malaysia

41 pegawai, anggota bomba dikenakan hukuman

AHMAD Izram Osman (tiga, kiri) melawat ruang pameran pada program Forum Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah Zon Pantai Timur di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 41 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dikenakan hukuman atas pelbagai kesalahan salahlaku sejak Januari lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 24 orang dikenakan hukuman tatatertib, 10 digantung kerja iaitu tiada pembayaran gaji manakala tujuh lagi dikenakan perintah tahan kerja (separuh gaji).

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman, berkata, antara hukuman tatatertib yang dijatuhkan adalah dibuang kerja, dilucutkan hak emolumen dan denda.

Menurut beliau, kesalahan tertinggi dikesan adalah melibatkan penyalahgunaan dadah sebanyak 14 kes, tidak hadir bertugas (11 kes), selain hubungan sulit, khalwat dan jenayah seksual dengan tujuh kes.

“Selain itu, Lembaga Tatatertib JBPM turut mengesan empat kes tatakelakuan seperti mabuk dan memalsukan tanda tangan selain kekerasan (3 kes) serta dua kes rasuah dan salah guna kuasa.

“Kami memandang serius isu salah laku pegawai dan anggota yang terlibat dengan pelbagai kesalahan yang boleh menjejaskan imej serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap JBPM.

“Sebagai langkah mengukuhkan aspek integriti, JBPM menambah 76 pegawai di peringkat negeri dan daerah bagi menguruskan isu tadbir urus dan tatatertib hampir 14,000 kakitangan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Forum Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah Zon Pantai Timur di Dewan Jubli Perak Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Izram mendedahkan, JBPM telah merekodkan peningkatan aduan yang majoritinya membabitkan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Beliau berkata, sebanyak 87 aduan diterima sepanjang tahun lalu berbanding 84 pada 2021 manakala sehingga Ogos tahun ini sahaja, 50 aduan telah diterima daripada anggota dalaman dan orang awam.

“Ini adalah fungsi sistem e-Aduan yang diwujudkan bagi memudahkan ahli masyarakat atau pegawai jabatan sendiri untuk membuat aduan secara terus kepada Unit Integriti JBPM.

“Aduan atau laporan itu boleh disalurkan tanpa tapisan dan ini bukti JBPM komited bagi mengurangkan atau ‘membunuh’ terus gejala tidak sihat di dalam jabatan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya