KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu melupuskan sebanyak 379,400 batang rokok seludup yang bernilai RM1.2 juta, hari ini.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, sebanyak 19,470 kotak rokok itu merupakan hasil rampasan pada Op Serop di Kuala Besut, April lalu.
Menurut beliau, rokok haram berkenaan dilucutkan hak oleh mahkamah menerusi perbicaraan pada Julai dengan proses pelupusan ini merupakan kali pertama oleh Maritim Malaysia negeri pada tahun ini.
“Proses pelupusan dilakukan menggunakan mesin pengisar sebelum dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Sungai Ikan, Kuala Nerus disaksikan pegawai penyaksi.
“Pihak kami percaya kemasukan bahan tembakau tidak bercukai dari negara jiran ini masih berleluasa memandangkan permintaan terhadap rokok haram di Pantai Timur cukup tinggi.
“Op Serop akan diteruskan di perairan negara bagi membanteras penyeludupan rokok haram secara menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri, di sini, hari ini.
Tambah beliau, satu lagi kes membabitkan rokok seludup berjumlah RM2.1 juta yang dirampas di muara Sungai Setiu dekat Penarik tahun ini masih dalam peringkat perbicaraan di mahkamah.
Jelasnya, Maritim Malaysia Terengganu memandang serius isu kemasukan rokok tidak bercukai dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pesalah dan mengheret ke muka pengadilan. – UTUSAN