320 bot sertai perarakan bot merdeka

320 bot sertai perarakan bot merdeka

SEBAHAGIAN daripada bot yang menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 320 bot menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 berdekatan Jambatan Angkat Kuala Terengganu di muara Sungai Terengganu di sini, semalam.

Perarakan bot tersebut bermula dari Pulau Kekabu di Marang, Bukit Tunggal (Kuala Nerus) dan Pengkalan Kampung Tengah (Setiu).

Kesemua bot tersebut seterusnya berkumpul di sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 5 petang.

Perarakan itu bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat untuk terus melakukan yang terbaik sebagai sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Pengunjung yang ditemui pula teruja dapat melihat perarakan bot merdeka itu secara dekat kerana ia adalah satu kelainan berbanding sambutan Hari Kebangsaan di negeri lain.

Amryl Haziran Rizal Aman, 23, dari Shah Alam, Selangor berkata, dia yang datang bercuti bersama keluarga tidak melepaskan peluang merakam video dan gambar perarakan tersebut kerana ia adalah pengalaman pertamanya menyaksikan sambutan perarakan melibatkan kenderaan di air.

“Memang rasa seronok kerana auranya sangat berbeza dengan perarakan kemerdekaan yang diadakan di darat. Saya berharap Terengganu akan memanfaatkan kelebihan ini untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong pada masa akan datang,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Wan Muhd. Ariff Wan Syukor, 37, pula berkata, perarakan seumpama itu boleh dijadikan acara tahunan untuk setiap kali sambutan Hari Kebangsaan di Terengganu kerana sepanjang pesisir sungai sangat meriah dengan pengunjung yang mahu menyaksikannya.

“Paling gembira tentunya anak-anak kerana perarakan bot merdeka ini turut dihiasi dengan ribuan Jalur Gemilang mengikut kreativiti pemilik bot.

“Memang terasa aura kemerdekaan sepanjang berada di pesisir sungai kerana perarakan merdeka ini menzahirkan semangat cintakan negara yang diterjemahkan dalam pelbagai cara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya