32 pusat tahfiz di Selangor ditolak permohonan pelan bangunan - Utusan Malaysia

32 pusat tahfiz di Selangor ditolak permohonan pelan bangunan

Pusat tahfiz
- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Permohonan pelan bangunan komersial bagi beroperasi melibatkan 32 pusat tahfiz di Selangor ditolak selepas gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, sebanyak 179 sekolah agama persendirian mengemukakan permohonan itu sekali gus mengikuti garis panduan pemutihan ditetapkan pihaknya.

Namun, menurutnya, hanya 147 daripadanya mendapat kelulusan manakala bakinya telah ditolak. 

“Faktor utama permohonan pelan bangunan itu ditolak berikutan didapati tidak mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

“Ia antaranya melibatkan kegagalan menyediakan tangga kedua, pintu keluar, alat pemadam api dan pengesan asap selain bekalan air untuk memadam api serta jalan masuk jentera bomba,” katanya ketika ditemui.

Tambah Wan Md. Razali, pelan kelulusan bangunan itu turut dikuatkuasakan terhadap semua premis komersial yang beroperasi di negara ini. 

Justeru, beliau berkata, pihaknya menyediakan kaunter perbincangan kepada pemilik premis sebagai langkah menyelesaikan perkara itu.

“Kita ada pegawai di Bahagian Keselamatan Kebakaran yang akan menelitinya dari segi kehendak dan keperluan kebombaan itu sendiri.

“Semua premis bangunan wajib mematuhi peraturan ditetapkan dan mendapat kelulusan daripada bomba,” ujarnya.

Kerajaan Selangor sebelum ini meluluskan garis panduan dan pemutihan sekolah tahfiz pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2021. 

Usaha kerajaan negeri itu turut mendapat sokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 sekolah agama persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya