KUALA TERENGGANU: Lebih 30,000 penggemar kopi dari seluruh negara mengunjungi Pesta Kopi Terengganu yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini selama tiga hari berakhir hari ini.
Pengunjung tersebut mengambil peluang untuk meninjau peluang perniagaan, pekerjaan dan mengenali minuman itu dengan lebih dekat lagi.
Penganjur Acara, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, sebanyak 27 syarikat pempamer i daripada pembekal biji kopi, pembekal mesin dan peralatan kopi, pembekal bahan minuman, pemilik kafe, gerai cenderahati dan hasil seni menyertai pesta tersebut yang julung kali diadakan di Kuala Terengganu, setakat ini.
Menurutnya, bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, pihaknya turut mengadakan pertandingan seni kopi dan pertandingan bancuhan kopi melibatkan 50 peserta dari kafe dan kedai kopi terkemuka di seluruh Pantai Timur serta Kuala Lumpur.
“Program anjuran Port Coffee Roaster bersama Ghostbird Coffee Roaster itu bertujuan menghimpunkan ramai pemain industri untuk memartabatkannya sebagai perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan lumayan terutama dalam kalangan anak muda.
“Selain itu, kita juga mahu pengunjung mendapat sendiri maklumat tepat mengenai peluang perniagaan, pekerjaan dan potensi industri ini yang sangat cerah untuk diteroka pada masa depan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu beberapa pengunjung yang ditemui pula mengakui mereka teruja dapat melihat sendiri proses penghasilan kopi menggunakan pelbagai mesin yang berteknologi canggih yang digunakan pemilik kafe dan kedai kopi tempatan.
Damia Aleesya Shamsul, 28, berkata, dia datang ke pesta itu bersama tiga rakannya yang juga penggemar kopi untuk membeli serbuk minuman yang telah siap diproses dari tiga pembekal yang berbeza.
“Kebetulan ada promosi mesin kopi berharga bawah RM900, jadi kami bercadang mahu membelinya untuk digunakan di rumah sewa kerana ia lebih menjimatkan kerana boleh dikatakan kami membeli kopi setiap hari.
“Di sini juga kami berpeluang mendekati usahawan dan pemilik kafe di seluruh Terengganu untuk mengetahui apa produk istimewa yang terdapat di kafe mereka untuk kami pergi dan nikmati selepas ini,” katanya.
Seorang kakitangan swasta, Nurul Salliza Ibrahim, 37 pula berkata industri kopi telah menjadi trend gaya hidup terutama anak muda pada masa kini dan ia membuka peluang lebih banyak terutama dari aspek perniagaan.
“Saya datang ke sini untuk mendapatkan maklumat mengenai pembekal biji kopi, kerana bercadang mahu membuka perniagaan minuman kopi secara kecil-kecilan di kampung bersama dua sepupu masih menganggur,” katanya. – UTUSAN