2 Kontraktor didakwa tipu lembaga pengelola sekolah Tamil

2 Kontraktor didakwa tipu lembaga pengelola sekolah Tamil

CHEAH Seng Nam (kiri) dan Mohd. Syafeeq Mohd. keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa atas tuduhan menipu lembaga pengelola sekolah tamil. -UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu sebuah lembaga pengelola sekolah vernakular berhubung kerja-kerja penyelenggaraan bangunan melibatkan penyerahan wang RM875,000.

Mohd. Syafeeq Mohd., 40, dan Cheah Seng Nam, 48, mendakwa mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Semenyih.

Menurut pertuduhan, tindakan kedua-dua tertuduh dengan curangnya mendorong lembaga pengelola sekolah itu menyerahkan RM875,000 kepada mereka.

Mohd. Shafeeq dan Seng Nam didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di antara 27 Ogos 2020 dan 8 Oktober 2020 di RHB Bank Cawangan Taman Midah di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan tarikh sebutan pada 25 Oktober ini.

Mereka turut diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada minggu pertama setiap bulan hingga kes dilupuskan.

Terdahulu, pegawai pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin masing-masing serta diarah melapor diri ke pejabat agensi itu pada minggu pertama setiap bulan selain syarat tambahan agar pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM12,000 setiap seorang atas alasan mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Ridha berkata, Mohd. Syafeeq kini berniaga kedai minuman secara kecil-kecilan manakala Seng Nam merupakan bapa tunggal yang kematian isteri 28 hari lalu selepas bertarung dengan penyakit kanser selama tujuh tahun.

“Anak guam saya perlu menyara anak berusia tujuh tahun dan sedang dalam proses menyesuaikan diri ekoran kematian isterinya,” ujar peguam.

Ridha juga tidak membantah syarat-syarat tambahan yang dikenakan kerana kedua-dua tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan sama manakala pasport mereka telah diserahkan kepada mahkamah itu.

Pada 13 September lalu, kedua-dua lelaki itu didakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan memperdaya lembaga pengelola sekolah dengan menjalankan kerja baik pulih fasiliti bernilai lebih RM1.2 juta, tiga tahun lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN