180,000 remaja tidak bersekolah menengah

180,000 remaja tidak bersekolah menengah

MAS SAHIDAYANA Mohktar ketika menjadi ahli panel forum Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sangat penting dalam membentuk generasi berfikiran kritis, sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti jenayah.

Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya (UM), Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar berkata, mengikut data terkini kira-kira 180,000 remaja berusia 13 hingga 17 tahun tidak berada dalam sistem persekolahan sekolah menengah.

Menurut beliau, jumlah itu sangat membimbangkan dan perlu ditangani segera kerana keberadaan mereka dalam masyarakat tidak diketahui.

“Ada banyak kajian menunjukkan korelasi antara pendidikan dan kadar jenayah. Semakin ramai yang tidak bersekolah akan berlaku peningkatan kadar jenayah di sesuatu kawasan selain kesalahan yang berulang.

“Seperti mana satu kajian daripada Jabatan Penjara bagi kes-kes berulang, tahap pendidikan (pesalah) 80 peratus adalah di bawah sekolah rendah dan menengah. Hanya di aras tersebut.

“Jadi mereka ini ada cenderung mengulangi kesilapan kerana tidak mendapat kemahiran berfikir dalam menentukan tindakan itu adalah suatu jenayah yang boleh mengganggu dan menggugat masa depan mereka,” katanya dalam forum Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini, semalam.

Tambah Mas Sahidayana, isu yang sedang dihadapi sektor pendidikan ketika ini adalah para pelajar tidak berminat untuk mengikuti aliran sains apabila mereka berada di tingkatan empat.

Katanya, semua pihak harus memainkan peranan dalam menggalakkan anak-anak mengambil aliran STEM demi menjamin keselamatan mereka pada masa akan datang.

“Kita jangan melihat STEM dalam konteks pendidikan di sekolah sahaja kerana aktiviti-aktiviti berbentuk STEM juga sebenarnya membantu anak-anak berfikir secara logik. Cari fakta sebelum ambil tindakan membantu mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah.

“Justeru, kita sebagai komuniti perlu menggalakkan anak-anak menceburi bidang STEM di peringkat sekolah menengah atas agar mereka mempunyai pemikiran yang lebih kritis,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya