KUALA TERENGGANU: Ribuan penonton teruja menyaksikan pertandingan bot berhias sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu di muara Sungai Terengganu, di sini, malam tadi.
Pertandingan tersebut disertai sebanyak 16 buah bot iaitu lapan buah dalam kategori pejabat daerah manakala lapan bot lagi kategori badan berkanun serta anak syarikat kerajaan negeri dan Persekutuan.
Lapan daerah yang menyertai acara pertandingan dalam kategori pejabat daerah adalah Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.
Kategori badan berkanun serta anak syarikat kerajaan negeri dan Persekutuan pula disertai Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI), Syarikat Air Terengganu (Satu) Sdn. Bhd., TDM Berhad, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Kumpulan PMINT, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Perarakan pertandingan itu bermula dari arah Pulau Kambing, seterusnya berarak melalui Pulau Warisan, Duyong Marina, Jeti Penambang Seberang Takir, ke Jeti Shah Bandar dan Payang Walk.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut.
Sementara itu, johan kategori pejabat daerah dirangkul Pejabat Daerah Hulu Terengganu, naib johan, Pejabat Daerah Kemaman dan ketiga, Setiu.
Johan kategori badan berkanun serta anak syarikat kerajaan negeri dan Persekutuan pula PMINT, naib johan, Kumpulan PMINT dan ketiga, Ketengah.
Pasukan yang muncul sebagai johan dalam kedua-dua kategori itu membawa pulang hadiah RM20,000, naib johan RM15,000 dan ketiga RM10,000. -UTUSAN