BELAGA: Sebuah rumah panjang dua tingkat jenis tidak kekal musnah dalam satu kejadian kebakaran di sini pada pagi tadi.
Kejadian memusnahkan Rumah Panjang Uma Nyaving, Long Mejawah Sungai Asap yang mempunyai 15 buah pintu rumah.
Komander Operasi Penolong Bomba Kanan, Helman Main berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dimaklumkan berlakunya kebakaran di lokasi rumah panjang terbabit sekitar pukul 8 pagi tadi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, anggota mendapati kebakaran melibatkan rumah jenis struktur tidak kekal dua tingkat 15 pintu terbakar dan kebakaran melibatkan rumah blok B pula terbakar 100 peratus.
“Anggota penyelamat yang berada di lokasi kejadian bertindak menggunakan satu aliran air nozel, 200 kaki, satu pam angkut dan air dari pili bomba untuk memadamkan kebakaran di bahagian blok B secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ di bahagian blok C,” jelasnya.
Tambahnya, pasukan bomba turut bertindak berpandukan konsep RECEO untuk memadamkan kebakaran tersebut dengan menggunakan satu aliran, dua nozel, 300 kaki, satu pam angkut dan air dari pili bomba yang berdekatan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Sehingga kini, kerja-kerja pemadaman dan pembersihan di lokasi tersebut masih lagi dijalankan.
“Jumlah mangsa yang terjejas dan punca kejadian kebakaran juga belum dikenal pasti,” jelasnya. -UTUSAN