1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 disita - Utusan Malaysia

1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 disita

ZARINA Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan bubu-bubu naga yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Batu Maung hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Jabatan Perikanan Pulau Pinang menyita sebanyak 1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 di sekitar perairan negeri itu sepanjang Januari lalu sehingga bulan ini.

Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, pihaknya memandang serius tindakan pihak tertentu yang menggunakan bubu naga di perairan Pulau Pinang kerana ia menyebabkan kerugian sumber memandangkan bubu tersebut turut memerangkap anak-anak ikan.

”Bubu naga ini sekiranya dibiarkan akan sebabkan kerugian serta memusnahkan sumber, benih dan anak-anak ikan ini sekiranya dapat hidup dan membiak ia akan memberikan nilai yang tinggi kepada nelayan.

”Semasa kita menjumpai bubu-bubu naga ini, kita dapati ikan-ikan yang bernilai tinggi seperti ikan jenahak, ikan merah dan sebagainya turut terperangkap di dalamnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dijalankan memandangkan pihak yang memasang bubu naga itu membiarkan bubu tersebut di kawasan laut.

”Kami tidak akan bertolak ansur terhadap isu pelanggaran peraturan dan perundangan serta menyeru kepada semua nelayan atau mana-mana individu untuk tidak melakukan kesalahan yang menyalahi Akta Perikanan 198 terutamanya apabila melibatkan aktiviti penangkapan ikan.

“Jika didapati bersalah akan dikenakan kompaun maksimum sebanya RM20,000 atau dua tahun penjara,” katanya.

Dalam pada itu, Zarina berkata, pihaknya telah menyita sebuah vesel pukat tunda Zon C tempatan pada kedudukan 22.9 kilometer dari Kuala Sungai Pinang, 11 September lalu.

”Vesel itu didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang dari 27.7 kilometer seperti ditetapkan oleh syarat lesen.

“Selain itu, turut disita adalah hasil tangkapan yang terdiri dari ikan campur anggaran sebanyak 500 kilogram yang dilelong dengan nilai RM500,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 210 unit bubu naga dengan nilai RM31,500 juga telah disita di bawah Seksyen 11(3)(c) iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Penyitaan ini dibuat melalui siri pemeriksaan dan rondaan laut yang dilaksanakan pada minggu ketiga bulan ini di perairan Pulau Rimau dan jeti nelayan di Seberang Perai Selatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya