13,000 penduduk hidu asap sampah setiap hari - Utusan Malaysia

13,000 penduduk hidu asap sampah setiap hari

Sampah
HARRISON Hassan bersama penduduk meninjau tempat pembuangan sampah haram di Jalan Kepong - Kuala Selangor dekat Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 13,000 penduduk di sekitar Puncak Alam di sini, berdepan pencemaran bau busuk dan asap ekoran kewujudan timbunan sampah berdekatan Jalan Kepong-Kuala Selangor hampir setahun lalu.

Masalah itu menyebabkan terdapat beberapa rumah turut dihurung lalat dan membawa penyakit selain berisiko dilanda banjir.

Wakil penduduk, Azarul Syazari Che Aziz, 34, berkata masalah itu berpunca apabila pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah di kawasan seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

“Kebanyakkan sampah domestik termasuk sisa binaan dan makanan itu dibuang sehingga menyebabkan bau busuk kepada penduduk berhampiran.

“Timbunan sampah itu mengeluarkan bau meloyakan hingga menyebabkan kami yang berasa amat tidak selesa,” katanya ketika ditemui di lokasi itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan hari ini.

Jelanya, biarpun tidak mengetahui status sebenar tapak pelupusan sampah itu, ia mencemarkan pemandangan apatah lagi  berada berdekatan jalan utama.

Bagi Alif Nazrin Mohd Paudzi, 34, keadaan semakin teruk apabila penduduk tiada selera untuk makan di rumah akibat gangguan lalat.

“Kadang-kadang jika kenduri atau jamuan, kami berdepan masalah lalat apatah lagi jika dikunjungi saudara mara. Ia berikutan timbunan berkenaan di kawasan itu semakin merebak ke lereng tepi anak sungai berhampiran yang berisiko tercemar,” ujarnya.

Tambahnya, aktiviti pembakaran turut dilakukan pada waktu petang sehingga mengeluarkan asap tebal.

“Kami juga bimbang jika berlaku banjir, sampah sarap itu hanyut ke kawasan penempatan dan menyebabkan pelbagai penyakit bawaan air. Justeru, saya berharap tapak pelupusan itu ditutup demi keselesaan dan kesihatan penduduk sekitar,” tegasnya.

Sementara itu, Harrison berkata, status tapak pembuangan sampah berkenaan akan dirujuk terlebih dahulu daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) dalam tempoh terdekat.

“Tapak pelupusan itu berada berdekatan kawasan rumah penduduk dan timbunan sampah turut berlaku di persimpangan Desa Coalfields.

“Saya juga akan membawa isu ini kepada Exco Selangor bertanggungjawab untuk bersama mengusahakan jalan penyelesaian sama ada tapak sampah itu berlesen atau pun tidak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya