SHAH ALAM: Seramai 118,000 pelajar baharu mendaftar masuk ke politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara sekaligus mencatatkan peningkatan 20 peratus tahun ini.
Berdasarkan statistik terkini Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), jumlah pelajar di 36 politeknik dan 104 kolej komuniti itu meningkat berbanding sekitar 90,000 orang tahun lalu.
Pengarah Kanan Akademik JPPKK, Mohd. Noor Shahudin berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kembali mendapat tempat di kalangan pelajar dan belia tempatan.
“Tidak dinafikan berlaku penurunan kemasukan pelajar ketika dan selepas musim pandemik Covid-19 sebelum ini. Namun, keadaan kini berubah apabila sambutan diterima amat positif dan hampir memenuhi sasaran ditetapkan iaitu 120,000 orang.
“Penerimaan pelajar TVET di politeknik dan komuniti masih menggalakkan dan kita sedang berusaha memastikan semua kuota kemasukan diisi pelajar menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Inovasi Pembelajaran Digital CIDOS Inspiring Learning Awards (eDOLA) kali ke-11, hari ini.
Utusan Malaysia pada 22 Ogos lalu melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam TVET.
Angka itu mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia bagi melahirkan pekerja berkemahiran jika institusi yang menawarkan pelbagai kemudahan dan pemberian elaun bulanan oleh kerajaan tidak menjadi pilihan belia.
Semalam, Kementerian Sumber Manusia menegaskan sentiasa memastikan program TVET diolah agar bersifat lebih dinamik bagi memenuhi keperluan golongan belia.
Program TVET yang ditawarkan kini direka bentuk berasaskan standard pekerjaan yang menepati keperluan semasa industri dan dilaksanakan menerusi latihan secara langsung di tempat kerja sebenar melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Mengulas lanjut, kata Mohd. Noor, pihaknya turut sedang mengkaji faktor kesesuaian lokaliti dan program yang ditawarkan kepada kepada pelajar.
“Sebagai contoh, ada politeknik atau kolej komuniti yang menerima kemasukan ramai pelajar melebihi sasaran ditetapkan. Keadaan itu bergantung kepada aspek lokasi atau tawaran program dan kita perlu melihat semula kesesuaiannya selepas ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pemerhatian pihaknya mendapati program TVET yang menjadi tumpuan antaranya bidang perkhidmatan seperti kulinari dan makanan selain elektrik serta elektronik. – UTUSAN