PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 1,097 premis makanan dan minuman diarahkan tutup bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu kerana gagal mematuhi aspek kebersihan.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah itu diterima daripada pemeriksaan terhadap 45,467 premis di seluruh negara sepanjang tempoh sama.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 94.8 peratus atau 43,107 premis mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan KKM.
“Secara keseluruhan, premis makanan dan minuman di negara ini mematuhi standard peraturan kebersihan yang ditetapkan dalam penyediaan makanan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Apron Walk 2023 di sini, hari ini.
Katanya, sejak 2020 sehingga Ogos lalu, KKM telah memeriksa 235,245 premis makanan di seluruh negara dengan 4,767 atau 2.03 peratus diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Lukanisman berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 58,675 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 2009.
Mengulas mengenai keracunan makanan pula, Lukanisman berkata, sebanyak 294 kes keracunan makanan direkodkan sejak Januari hingga Ogos lalu dengan 76 kes membabitkan insiden di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kita sedang bekerjasama dengan KPM bagi memantau dan memberikan khidmat nasihat berhubung aspek kebersihan penyediaan makanan di premis KPM,” katanya.
Terdahulu, lebih 1,000 peserta terdiri daripada kakitangan KKM dan warga Putrajaya menyertai Apron Walk 2023 yang dianjurkan sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023, pagi ini.
Lukanisman berkata, tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Food Standards Save Lives’ yang menfokuskan kepada peranan penting standard makanan dalam penghasilan makanan selamat dan berkualiti serta untuk melindungi kesihatan pengguna. – UTUSAN