10,747 pesakit tunggu organ baharu

10,747 pesakit tunggu organ baharu

ZALIHA Mustafa melawat pameran selepas Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Perdermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 di IKN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) merekodkan seramai 10,747 orang pesakit masih berada dalam senarai menunggu organ baharu ketika ini berbanding hanya seramai 845 penderma organ selepas kematian.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebanyak 2,950 pembedahan transplantasi berjaya dilaksanakan di negara ini ke atas penderma selepas kematian termasuk penderma semasa hidup.

Bagaimanapun, menurutnya, statistik tahun semasa menunjukkan jumlah penderma organ kadaverik dari 1 Januari hingga 31 Julai lalu adalah seramai 46 orang dan ia melebihi jumlah penderma organ itu yang dicatatkan sepanjang tahun lalu iaitu 44 orang.

“Pendermaan organ dan tisu boleh diperoleh daripada penderma selepas kematian serta daripada penderma hidup.

“Walaupun lebih 45 tahun perkhidmatan ini dimulakan, pendermaan organ dan tisu serta transplantasi di Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah pesakit ‘end-organ failure’ yang memerlukan pembedahan transplantasi.

“Antara penyebab utama adalah masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti hipertensi dan diabetes,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) Peringkat Kebangsaan 2023 di Institut Kanser Negara, di sini hari ini.

Jelas Dr. Zaliha, sambutan MKPO mula dianjurkan oleh PSTN sejak tahun 2010 sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kesihatan serta masyarakat umum mengenai pendermaan organ dan perkhidmatan transplantasi di negara ini.

Katanya, sejak 1997, terdapat sebanyak 370,130 pengikrar derma organ dengan 22,268 pengikrar didaftarkan pada tahun ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berharap jumlah penderma organ kadaverik dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ia bertujuan bagi mengurangkan jurang besar antara perolehan organ dan jumlah pesakit yang sedang menunggu organ baharu.

Dr. Zaliha menjelaskan, dalam perspektif perubatan, pendermaan organ dan tisu bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup seseorang, tetapi berpotensi untuk menyelamatkan nyawa.

Katanya, secara umum semua agama mengiktiraf pendermaan organ sebagai amalan yang mulia, malah Majlis Fatwa Kebangsaan telah meletakkan hukum harus pada urusan pendermaan dan pemindahan organ sejak Jun 1970.

“(Ini kerana) ada pandangan-pandangan yang agak tidak selesa (tentang derma organ) bagaimanapun fatwa telah dikeluarkan iaitu hukumnya harus. Sebab itu dalam khutbah-khutbah Jumaat pun kita ada sediakan teks untuk dibacakan oleh imam (ketika solat Jumaat),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya