1,020 banduan hukuman mati, penjara sepanjang hayat boleh fail semakan hukuman

1,020 banduan hukuman mati, penjara sepanjang hayat boleh fail semakan hukuman

KERAJAAN akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat boleh memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berikutan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lalu.

Katanya, Kerajaan Perpaduan akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) mulai esok.

“Jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung dengan semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat yang dicadangkan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Ia termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Majlis Peguam Malaysia.

“Selain itu ialah Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) (turut terlibat),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina menjelaskan, keutamaan pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor-faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain.

Katanya, dalam menjamin akses kepada keadilan dan memelihara prinsip kesaksamaan, kerajaan melalui mekanisme yang dipersetujui, bersetuju supaya banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam.

Ia bagi mewakili mereka dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh mahkamah (Court Assigned Counsel).

“Manakala, bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Azalina berkata, penguatkuasaan Akta 847 mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat.

Hal ini, katanya, membuktikan bahawa prinsip ‘restorative justice’ dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.

“Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya