KUALA TERENGGANU: Seramai 10,000 pengunjung dijangka hadir ke Program Musing Ketang di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Losong, di sini, yang bermula hari ini hingga Isnin depan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari program itu berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia.
Beliau berkata, antara aktiviti yang diadakan ialah demonstrasi pembuatan tikar kercut, ukiran tembaga, pembuatan replika bot tradisional, wau dan lukisan batik yang menjadi identiti masyarakat Terengganu.
“Semua aktiviti ini dapat mempopularkan lagi tradisi dan budaya orang Terengganu kepada pelancong luar sekaligus menyemarakkan semula jati diri dalam kalangan masyarakat Terengganu khususnya generasi muda.
“Program ini juga antara inisiatif kerajaan negeri untuk menarik pelancong datang ke KBT sekaligus mengembalikan kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti seni bina, masakan tradisional dan kebudayaan Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Musing Ketang@Keretapi Sarong di KBT hari ini.
‘Musing Ketang’ adalah dialek Terengganu yang membawa maksud berjalan ke hulu ke hilir dalam suatu tempat iaitu memfokuskan pelancong untuk berjalan-jalan di tapak acara di KBT.
Selain itu, beliau berkata program tersebut juga dapat meningkatkan sumber pendapatan kepada agensi pelancongan dan perhotelan serta pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu.
Tambahnya, generasi muda juga berpeluang untuk mengenali, mempelajari, dan
mendalami serta mewarisi kebudayaan dan kesenian ini agar ia tidak hilang ditelan zaman dalam arus pemodenan.
“Pada hari ini, komuniti setempat serta golongan yang terlibat menerusi rantaian aktiviti pelancongan berpeluang mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung.
“Jualan makanan tradisional terutama resipi menu hidangan yang semakin pupus juga antara daya tarikan pelancong untuk program kali ini,” katanya. – UTUSAN