KUALA TERENGGANU: Lebih 100 motosikal membabitkan peserta program Himpunan RXZ Members 5.0 di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini polis menerusi Op Bersepadu di seluruh negeri ini sejak Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, tindakan tegas itu diambil selepas terdapat pelbagai kesalahan oleh penunggang antaranya tidak memiliki lesen memandu dan ubah suai kenderaan.
Beliau berkata, lebih banyak motosikal dijangka ditahan dengan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu akan diteruskan sehingga berakhir program terbabit lewat hari ini.
“Kesalahan lain juga telah dikesan seperti ubah suai nombor pendaftaran, tidak memiliki cermin sisi, tiada brek belakang malah banyak motosikal tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Proses dokumentasi sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan setakat ini lebih 100 buah motosikal telah ditahan serta disita selain dikenakan tindakan saman mengikut jenis kesalahan.
“Bagi motosikal yang disita, pemilik perlu mengubah struktur kenderaan kembali kepada keadaan asal memandangkan majoriti yang disita adalah kesalahan ubahsuai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seramai 70,000 pemilik motosikal RXZ dan pelbagai jenis lain menyertai himpunan tersebut selama dua hari bermula semalam.
Terdahulu tular beberapa video di laman media sosial memaparkan peserta program himpunan tersebut dibawa ke IPK negeri selepas ditahan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini.
Mazli menjelaskan, SJR bergerak itu dilancarkan di seluruh negeri ekoran aduan orang ramai yang tidak selesa dengan segelintir peserta yang menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat bising.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penganjuran program seumpama itu namun peserta diingatkan agar mematuhi peraturan jalan raya dan syarat pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran.
“Terdapat peserta yang datang melalui laluan tikus menyebabkan ramai ‘terlepas’ dengan SJR ini bermula daripada sempadan laluan lebuhraya dan jalan pantai,” tambah beliau lagi. – UTUSAN