100 gerai bakal meriahkan Festival Makanan Pantai Timur

100 gerai bakal meriahkan Festival Makanan Pantai Timur

NOOR Shuhada Zakaria (empat kanan) bersama barisan artis Ani Mayuni, Balkish Semundur dan Issey bergambar sempena Festival Makanan Pantai Timur di Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Festival Makanan Pantai Timur yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 September hingga 1 Oktober ini bakal menghimpunkan lebih 100 gerai makanan.

Lebih menarik, festival makanan yang julung kali berlatarbelakangkan tiga negeri itu akan diadakan di lokasi strategik iaitu Anjung Floria Persint 4, di Putrajaya.

Penganjur festival, Noor Shuhada Zakaria, 36, yang juga pemilik Mek Noor Nasi Dagang berkata, dia akui teruja dengan penganjuran festival itu dan pada masa sama, membantu memartabatkan menu, makanan dan juadah tradisional dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, setakat ini, 60 vendor makanan sudah bersetuju mengambil bahagian dalam festival itu dan mereka dikenakan hanya RM1,500 sepanjang tiga hari festival.

“Festival bermula 10 pagi hingga 12 malam dan masuk adalah percuma. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai acara cabutan bertuah yang menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000.

“Kami menyasarkan 10,000 pengunjung sehari dan berharap ia mendapat sambutan menggalakkan terutama penduduk dari sekitar Putrajaya,” katanya ketika dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, program tiga hari itu turut diserikan dengan persembahan tradisional termasuk dikir barat, ulik mayang, persembahan tarian dan persembahan daripada artis terkenal tanah air.

Noor Shuhada berkata, antara artis yang bakal membuat persembahan termasuk Issey Fazlisham, Ani Mayuni, Ayu Damit, Syafiq Farhain, Aril Pilus, Haziq Rosebi dan Serina Redzuan.

Turut serta ialah Avaa Vanja, Balkish Semundur, Isma AF, Pupsa Gomen, Nazeera Sardi, Roslan Madun, Khairul Anuar dan pemegaruh media sosial Mami Dedi selain Ustaz Akhil Hay serta penyampai radio Gegar, Shah.

“Selain gerai jualan makanan, aktiviti lain juga bakal diadakan seperti ceramah agama, demonstrasi masakan, jualan kraftangan, permainan tradisional, galeri dan pavilion setiap negeri pantai timur,” katanya.

Katanya, seramai 15 artis tempatan turut mengesahkan diri untuk menyertai festival makanan itu di bawah payung usahawan selebriti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya