1.89 juta tan metrik hasil perikanan direkodkan tahun lalu

1.89 juta tan metrik hasil perikanan direkodkan tahun lalu

CHAN Foong Hin pada perasmian Seminar Pelaburan Subsektor Perikanan di Sepang. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merekodkan sebanyak 1.89 juta tan metrik hasil perikanan negara yang berjaya diperoleh pada tahun lalu dengan nilai sebanyak RM15.9 bilion.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, berbanding 2021, subsektor itu mencatatkan hanya 1.75 juta tan metrik, manakala tahun sebelumnya merekodkan 1.79 juta tan metrik.

Katanya, berdasarkan nilai, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merekodkan peningkatan 7.5 peratus sumbangan iaitu RM14.88 bilion (2021) daripada cuma RM13.84 bilion pada 2020 lalu.

“Pihak KPKM bahkan mendapati seramai 136,000 orang terlibat tahun lalu dalam bidang perikanan dan akuakultur berbanding 149,000 orang yang dicatatkan pada 2021,” katanya ketika berucap pada Seminar Pelaburan Subsektor Perikanan di sini hari ini.

Berdasarkan trend semasa ketika ini, beliau menjangka industri perikanan negara mampu dalam mencapai sasaran kira-kira 2.55 juta tan metrik yang ditetapkan menjelang 2030.

Langkah berkenaan ujarnya, tidak mustahil kerana pelbagai insentif sedang dilaksanakan oleh pihak KPKM menerusi beberapa agensi berkaitan di samping penganjuran program seperti seminar pada kali ini yang memfokuskan sektor aktiviti tangkapan laut dalam terutama ikan tuna sebagai bentuk sumber kekayaan baharu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain memberi jaminan bahawa setiap ikan yang ditangkap di perairan negara ini masih lagi selamat malahan bebas sebarang sisa radiasi susulan kebimbangan masyarakat mengenai isu air laut yang dicemari radioaktif terawat Fukushima.

“Sehingga kini berdasarkan pemantauan dilakukan, kita mendapati tiada sebarang kesan radiasi yang sudah pun sampai ke laut di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas seminar itu.

Pada 22 Ogos lalu, kerajaan Jepun mengumumkan pelepasan lebih sejuta tan air dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik yang pernah bocor pada 11 Mac 2011.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan rapi melibatkan pelbagai agensi dan setiap sampel ikan yang diperoleh secara rawak dihantar kepada pihak Agensi Nuklear Malaysia untuk dianalisis tahap kandungan radiasinya.

Perkara sama turut dilakukan pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di semua pintu masuk negara terhadap segala produk marin dari Jepun.

Pihak DOF juga kata Adnan, mengingatkan pengimport agar setiap konsainan diimport dari Jepun memiliki sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN