Zehra Zambri berlatih lagu zikir masa dodoikan anak

Zehra Zambri berlatih lagu zikir masa dodoikan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir tiga tahun tidak beraksi di pentas besar, penyanyi, Zehra Zambri mengakui sedikit gementar apabila diundang menjayakan Konsert Mega Zikir Terapi di Zepp Kuala Lumpur, 16 September depan.

Zehra berkata, dia bertambah lebih risau apabila perlu mengalunkan zikir berbanding lagu-lagu bercorak tradisional yang biasa dipersembahkan sebelum ini.

“Gementar bukan sebab hendak menyanyi, tetapi sebab akan mengalunkan zikir. Jadi, saya perlu praktis sebutan dan lenggok lagu terebut.

“Saya pula sibuk bekerja dan menjaga bayi sendiri, jadi tiada masa spesifik untuk berlatih. Berlatih pun masa hendak dodoikan anak tidur. Kadang-kadang suami pun lena dengar saya berzikir.

“Tiga hari sebelum konsert berlangsung akan ada sesi latihan bersama pemuzik, jadi insya-Allah cukup masa untuk praktis sepenuhnya nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semasa konsert tersebut, Zehra bakal mempersembahkan lagu zikir berjudul Asmaul Husna secara solo, manakala, lagu Astagfirullah Robbalbaroya duet bersama qari, Amar Mukhlis.

Kali terakhir beraksi di pentas besar, kata Zehra, adalah semasa Konsert Payung Mahkota 2019 serta single terakhir berjudul Satukan Jiwa yang dihasilkan semasa serangan pandemik Covid-19.

Untuk rekod, Zehra pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-21 menerusi lagu etnik, Semalakama, ciptaan arwah Pak Ngah.

Buat julung kalinya, acara zikir berskala besar dianjurkan di pentas berprestij di ibu kota berkonsepkan kerohanian dan hiburan. Persembahan bakal diiringi kumpulan Chaan dan Leman Band yang menggabungkan elemen tradisional, moden dan fusion.

Vokalis kumpulan UNIC, Dr. Fitri Haris bertindak selaku pengarah konsert, manakala Hafiz Hamidun selaku pengarah susunan seni suara.

Antara artis tanah air yang bakal menjayakan konsert ialah Lan Solo, Aniq Muhai, Ikhwan Fatanna, Afad Raihan, Fedtri Yahya, Ustaz Tarmizi, Ustazah Sofiza dan kumpulan Rabithah.

Konsert dianjurkan oleh Niyat Group dan mendapat sokongan geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi MyCreative Ventures.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya