Warisan ulangi gesaan pindah pangkalan tentera

Warisan ulangi gesaan pindah pangkalan tentera ke pantai timur Sabah

KERAJAAN perlu meningkatkan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah yang terkenal dengan destinasi pelancongan.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan (Warisan) sekali lagi mengulangi gesaan meminta kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memindah pangkalan tentera ke pantai timur Sabah.

Langkah itu dilihat dapat memberi keyakinan kepada pengunjung dari luar negara susulan nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) mengenai risiko keselamatan di pantai timur Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tunku, Assafal P. Alian berkata, beliau agak terkejut apabila mengetahui nasihat perjalanan dikeluarkan bagi ‘perjalanan jika perlu ke Sabah’ yang dikeluarkan oleh UK dan EU kepada warganegara mereka dan risiko penculikan dikatakan adalah tinggi di kawasan perairan Kudat dan Tawau.

Malah, Kanada turut mengeluarkan nasihat perjalanan susulan ancaman penculikan dan keganasan yang dilakukan oleh militan dari Filipina terhadap pusat peranginan pelancong di sepanjang Sungai Kinabatangan hingga Pulau Sipadan.

Susulan itu, Warisan ingin mengulang gesaan yang dibuat Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal agar pangkalan tentera dipindahkan dari pantai barat ke pantai timur.

Langkah itu dilihat sebagai penyelesaian muktamad kepada isu penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), penculikan, transit keganasan dan pencerobohan.

“Walaupun kita mempunyai ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) namun, negara maju tidak yakin dengan tahap keselamatan di negeri ini. harus diingat, ancaman militan dari Filipina masih belum selesai seperti yang dilaporkan oleh The Sydney Morning Herald, Australia bulan lalu,” kata bekas Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.

Ma’mun berkata, Warisan berpendapat bahawa adalah amat penting untuk memindahkan pengkalan tentera ke pantai timur Sabah. Di samping itu, kerajaan juga harus memulakan pelaburan bagi mempertingkatkan sistem risikan dan pemantauan tentera yang canggih seperti dron ‘Predator MQ-9’ untuk memantau sempadan negeri ini.

Sementara itu Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, Warisan bersedia membantu memulihkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap tahap keselamatan Sabah.

Beliau berkata, demi pembangunan ekonomi di pantai imur Sabah diharap kerajaan Persekutuan akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi merealisasikan usaha perpindahan pangkalan tentera ini.

“Warisan akan melakukan segala yang mungkin untuk merealisasikan perpindahan ini dan kami juga percaya bahawa hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan haruslah berpandukan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukannya kongkongan politik maka, permintaan ini akan menjadi ujian untuk melihat sama ada kepentingan rakyat Sabah dilihat secara serius atau pun tidak,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya