GEORGE TOWN: Semangat juang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor, Rayyan Durrani Khairul Azhar,12, melawan penyakit ketumbuhan agresif dalam otak membuatkan ibu bapanya tidak berputus asa mencari penawar dalam memastikan kesihatannya dapat dipulihkan.
Bapa Rayyan, Khairul Azhar Baba, 39, berkata, dia dan isteri, Ista Zohra Suratin, 39, tidak mengalah biarpun jangka hayat anak kedua daripada lima beradik itu dikatakan hanya mampu bertahan enam bulan lagi.
Katanya, ketumbuhan agresif atau ‘Paediatric Type Diffuse Midline Glioma (DMG)’ tahap empat itu adalah penyakit jarang jumpa (rare disease) dan prosedur percubaan klinikal bagi merawat penyakit Rayyan Durrani akan dilakukan di Korea Selatan hujung bulan ini.
“Rayyan berusaha melawan penyakitnya dan sebagai ibu bapa, kami menggunakan kekuatan yang ada untuk mendapatkan maklumat dan membuat penyelidikan lanjut berhubung penyakit ini.
“Ketika Rayyan tidak sihat, rawatan dibuat di Hospital Island dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum kembali semula ke sini.
“Setelah berbincang bersama pasukan pakar yang merawat serta perunding pesakit (patient navigator) di Amsterdam, Rayyan telah berjaya didaftarkan ke dalam rawatan baharu melalui percubaan klinikal di Korea Selatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Azhar yang bekerja sendiri berkata, sebahagian kos rawatan akan ditaja oleh penganjur, namun kos pengangkutan, perbelanjaan dan rawatan komplikasi dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.
“Mujurlah, ramai yang tampil membantu menghulurkan bantuan kewangan sekali gus bakal melancarkan proses rawatan Rayyan di sana.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang bermurah hati terutamanya warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang yang membantu mengumpulkan sejumlah besar wang dalam tempoh seminggu,” katanya.
Rayyan Durrani kini dibawah penjagaan pakar kanak-kanak, pakar neurologi dan pakar onkologi Hospital Island Pulau Pinang dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).
Terdahulu, beliau menerima sumbangan cek berjumlah RM131,409.06 yang disampaikan Pengarah (JPN) negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.
Sementara itu, Abdul Rashid berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban kos rawatan Rayyan Durrani
“Adalah menjadi kewajipan untuk kami membantu Rayyan yang bukan sahaja anak didik, malah dianggap sebagai ahli keluarga warga JPN.
“Kami berharap proses rawatan Rayyan akan berjalan lancar dan diberikan kesembuhan oleh Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Rayyan Durrani berharap rawatan yang bakal dijalaninya akan membuahkan hasil.
“Saya mahu sihat semula, saya nak kembali ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan dan guru-guru,” katanya. – UTUSAN