Warga emas mengaku tidak bersalah pukul isteri dengan kayu - Utusan Malaysia

Warga emas mengaku tidak bersalah pukul isteri dengan kayu

R. SUBRAMANIAM didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memukul isteri menggunakan kayu dalam kejadian di Taman Pertama, Ipoh, kelmarin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dengan sebatang kayu, kelmarin.

Tertuduh, R. Subramanian, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, S. Shanta Kumari, 54, dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Taman Pertama, Ipoh dalam daerah Kinta pada pukul 1.14 pagi, 20 Ogos 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Terdahulu, Qurratu’aini mencadangkan jaminan sebanyak 10,000 namun Dayang Nor Emilia memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah bersara dan hanya melakukan kerja-kerja kebun dengan memperoleh pendapatan harian.

Azizah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh ditangkap susulan laporan polis oleh isterinya yang mendakwa telah dipukul menggunakan sebatang kayu di bahagian kaki dan lengan sebelah kiri.

Difahamkan, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian telah memarahi dan memaki hamun wanita itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya pergi menonton wayang bersama keluarga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya