KANOWIT: Seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok ketika melakukan kerja memotong pokok di sebuah kebun Pantu Mali, Jalan Lukut Penyulau di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan kejadian apabila Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menerima laporan kes tersebut pada tengah hari tadi.
“Sepasukan tujuh anggota dari BBP Kanowit telah digerakkan ke lokasi kejadian apabila menerima panggilan berhubung insiden terbabit.
“Setibanya di lokasi kejadian pihak bomba mendapati seorang mangsa tidak sedarkan diri dipercayai telah dihempap sebatang pokok ketika kerja-kerja memotong pokok,” jelasnya.
Tambahnya lagi, mangsa telah dipindahkan orang awam ke satu kawasan yang lapang berdekatan kebun tersebut sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Anggota bomba kemudiannya telah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mangsa telah disahkan meninggal di tempat kejadian,” ujarnya.
Mangsa yang dikenali sebagai Wong Sieh Ming, 59 tahun kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.- UTUSAN