TASEK GELUGOR: Akibat perselisihan faham keluarga, seorang pekerja ladang berusia 36 tahun membakar isterinya menggunakan minyak petrol di kawasan perumahan ladang kelapa sawit, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.45 malam.
Katanya, hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tinggal di rumah yang disediakan untuk pekerja di ladang berkenaan.
“Menurut anak lelaki mangsa, dia dan adik-adiknya terdengar pergaduhan di luar bilik mereka.
“Anak lelaki mangsa mahu keluar dari bilik tetapi pintu ditolak dari luar. Selepas dapat keluar, dia melihat ibunya berada di belakang rumah dalam keadaan badan terbakar.
“Suspek cuba memadam api dengan kain tetapi api semakin marak menyebabkan lelaki itu panik dan melarikan diri di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan polis sedang mengesan suami wanita itu dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Hasil siasatan lanjut, ini adalah kejadian kedua berlaku dan suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN