Wang tunai RM220,000 untuk bayar gaji pekerja lesap - Utusan Malaysia

Wang tunai RM220,000 untuk bayar gaji pekerja lesap

SUSPEK bersama barangan dirampas polis berhubung kes curi dekat sebuah premis syarikat pemproses makanan dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah syarikat memproses makanan dekat Jalan Sungai Pinang, Pulau Indah, di sini mengalami kerugian RM220,000 selepas wang tunai untuk pembayaran gaji pekerja serta 32 unit te­lefon bimbit dicuri minggu lalu.

Kejadian disedari seorang pekerja berusia 43 tahun yang mendapati wang tunai dalam almari lesap bersama telefon bimbit berkenaan sebaik sahaja tiba di pejabat pada 4 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, sebelum kejadian, pada 3 Ogos pengadu membuat agihan gaji mengikut pekerja dan bercadang membuat penyerahan pada keesokannya.

“Pengadu meletakkan sampul-sampul berisi wang tunai dan disimpan dalam almari sebelum pulang ke rumah. Pada keesokannya kira-kira pukul 6 pagi, selepas pengadu sampai ke pejabat mendapati wang tunai tersebut bersama 32 telefon bimbit milik syarikat tiada.

“Pengadu kemudian hadir membuat laporan di kaunter aduan Balai Polis Pandamaran pada pukul 8.32 pagi dan bertindak atas maklumat, kelmarin Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan pasangan suami isteri dan dua warga asing bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua supek berusia dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun dan ketika tangkapan, polis turut merampas wang tunai RM110,680 dan 15 jenis barang kemas berserta resit pembeliannya.

Jelas Hoong Fong, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga hari ini selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Klang bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya