Vincent Tan saman Sanusi, tuntut bayar ganti rugi RM200 juta

Vincent Tan tuntut Sanusi mohon maaf, bayar ganti rugi RM200j

vincent tan saman sanusi
MUHAMMAD SANUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Noor diberi masa sehingga tamat waktu bekerja, 8 Ogos (esok) untuk meminta maaf kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Gagal berbuat demikian, pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad akan memfailkan saman terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu.

Tuntutan tersebut dibuat melalui surat tuntutan yang dihantar oleh firma guaman yang mewakili ahli perniagaan itu dan syarikat Berjaya Land Berhad, Piere Chuah & Associates pada 4 Ogos lalu.

Menurut surat terbabit, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah pada program Jelajah Mega PN Best yang diadakan pada 2 Ogos lalu di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah.

Program jelajah tersebut adalah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri termasuk Kedah.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Vincent Tan atau nama penuhnya Vincent Tan Chee Yioun antara lainnya merupakan seorang ahli perniagaan yang korup, kroni kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan telah memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

“Kenyataan-kenyataan terhadap anak guam kami adalah tidak benar, tidak berasas, rekaan dan diterbitkan dengan niat jahat. Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah ini memberi kesan bukan sahaja kepada anak guam kami tetapi juga kepada perniagaan anak guam kami dan kerajaan Negeri Selangor.

“Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu juga boleh mengheret anak guam kami ke dalam skandal awam, menjejaskan integriti dan reputasi serta menghakis kenyakinan masyarakat terhadap anak guam kami.

“Kenyataan berbaur fitnah yang dibuat tanpa sebarang usaha untuk mengesahkan maklumat secara jelas menunjukkan ia dibuat dengan niat jahat dan bertujuan untuk mencapai publisiti murahan dan ‘political milage’,” kata surat tuntutan itu.

Sehubungan itu, firma guaman tersebut memaklumkan selain permohonan maaf secara terbuka dan tanpada syarat serta ganti rugi RM200 juta, Muhammad Sanusi juga dituntut untuk memberikan akujanji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan fitnah tersebut terhadap Vincent Tan mahupun Berjaya Land.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Vincent Tan dan Berjaya Land, mereka menafikan kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed dilaporkan berkata, syarikat Berjaya Land mahupun syarikat berkaitannya tidak pernah mendapat atau diberikan tanah seperti didakwa bernilai RM10 bilion.

Sebaliknya, sebuah syarikat tujuan khas melalui usahasama (JVCo) antara anak syarikat MBI, Landasan Lumayan Sdn Bhd (45 peratus) dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus) yang dikenali sebagai Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd (LLBSB) telah dibentuk untuk antara lain membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.

Tambah Syed Ali, Berjaya Land adalah pihak dikehendaki mengumpulkan dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar pasaran.

Syed Ali juga menafikan Berjaya Land mendapatkan tanah 600 ekar itu secara percuma, termasuk dakwaan Selangor kerugian RM180 juta.

“Hanya 103.6 ekar tanah yang diluluskan pemilikan oleh kerajaan Selangor kepada JVCo/LLBSB di mana 45 peratus saham di dalam syarikat LLBSB tersebut adalah dipegang dan dimiliki oleh anak syarikat MBI,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya