KOTA KINABALU: Kerajaan perpaduan harus memberi fokus menaik taraf ratusan sekolah daif di Sabah dan Sarawak berbanding menubuhkan Sekolah Khas Pelajar Miskin yang dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, tujuan penubuhan sekolah khas itu mungkin baik namun, ia tidak relevan dilaksanakan kerana masih terdapat ratusan sekolah dan asrama daif di Sabah dan Sarawak yang perlu dibaik pulih.
Malah, penubuhan sekolah khas sudah pasti memerlukan kos pembinaan yang lebih tinggi berbanding menaik taraf sekolah-sekolah daif sedia ada.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, cadangan mewujudkan sekolah khas bagi pelajar miskin tidak praktikal kerana ia akan mewujudkan ‘sistem kasta’ yang membezakan latar belakang ibu bapa dan pelajar.
Beliau berkata, cadangan sebegitu harus dikaji semula kerana ia boleh memberi kesan psikologi yang kurang baik kepada pelajar.
Menurut beliau, pada masa ini, apa yang penting kerajaan harus memperbanyakkan insentif dan bantuan kepada pelajar miskin bagi memastikan mereka terus bersekolah.
Terdapat banyak cara lain untuk Kementerian Pendidikan membantu pelajar miskin. Antaranya menyediakan bas sekolah khas dan menambah bangunan asrama selain memberi bantuan keperluan sekolah seperti beg dan baju sekolah.
“Mungkin sudah tiba masa satu polisi dan dasar untuk membantu pelajar miskin dirancang mengikut keperluan sesebuah negeri dan wilayah.
“Memisahkan taraf dan kategorikan pelajar miskin dan golongan berada adalah tidak rasional bagi sebuah Kerajaan Madani ketika negara sedang menuju ke arah sistem pendidikan yang bersifat inklusif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, pelajar yang ditempatkan di sekolah termiskin pasti akan rasa rendah diri dan menerima tekanan emosi apabila bergaul dengan rakan sebaya mereka yang belajar di sekolah lain.
Masiung berkata, pelajar seharusnya didedahkan dengan pendekatan lebih baik untuk belajar dalam kalangan rakan sebaya mereka tanpa perlu mengambil kira latar belakang keluarga.
Justeru, KPM seharusnya meletakan pelajar dari keluarga berkemampuan sebagai pembimbing atau mentor kepada pelajar yang di kategorikan sebagai miskin.-UTUSAN