Usah hanyutkan rakyat dengan isu cetus perpecahan - Sultan Nazrin

Usah hanyutkan rakyat dengan isu cetus perpecahan – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Buku Siri Titah ll Sultan Nazrin Shah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rakyat tidak boleh dihanyutkan oleh isu-isu yang boleh mencetuskan perpecahan.

Baginda bertitah, perkara itu perlu selepas hampir 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“Setelah hampir 66 tahun mencapai kemerdekaan, warga jangan dihanyutkan oleh suara-suara bernada permusuhan yang boleh mencetuskan persengketaan,  perselisihan dan perpecahan. 

“Negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat inklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan berupaya menganyam elemen yang pelbagai menjadi hamparan indah dan kukuh bertaut.  

“Semoga harapan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada 5 Ogos 1957, agar negara ini dilimpahi kebahagiaan yang berkekalan akan direalisasikan oleh setiap warga Malaysia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancaran buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Perak menghargai usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan kumpulan titah yang telah baginda zahirkan.  

Titah Sultan Nazrin, usaha DBP itu dapat membolehkan pemikiran dan pandangan baginda sampai kepada khalayak yang lebih luas.  

“Seorang raja pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan semangat Perlembagaan serta falsafah yang tersirat di sebalik penubuhan sebuah negara merdeka, difahami, dihayati dan diluhurkan oleh rakyat jelata, agar negara kekal berdaulat, buminya makmur dan warganya hidup secara harmoni dan aman,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, DBP hendaklah meneroka semula peranannya yang pernah berjaya memupuk perpaduan pada era awal kemerdekaan melalui medium bahasa dan sastera. 

 Baginda bertitah, ini kerana kesusasteraan Melayu berperanan penting memupuk perpaduan kaum dalam tempoh sejak merdeka hingga sekarang.

Selain itu, titah baginda, ia membantu melahirkan masyarakat Malaysia yang aman, damai, harmoni, bahagia serta mempunyai jati diri sebagai masyarakat Malaysia.

“Hari ini usaha untuk memupuk perpaduan semakin diperlukan untuk menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa (dan) atas nama agama.

“Suara-suara bernada permusuhan yang jika tidak segera dibendung, berpotensi besar meracuni pemikiran rakyat untuk curiga mencurigai yang akan berakhir dengan pertelingkahan, perselisihan dan perpecahan,” titah baginda.

Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ialah kesinambungan daripada buku Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah diterbitkan dan dilancarkan pada 2021.

Buku ini mengandungi 35 titah Sultan Nazrin yang dizahirkan antara 6 Februari 2017 sehingga 21 Mac 2022 yang disusun dalam empat bahagian iaitu Institusi Raja; Tadbir Urus; Agama; serta Masyarakat dan Budaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya