UNICEF lancar Pictures My Rights, perjuang isu hak kanak-kanak - Utusan Malaysia

UNICEF lancar Pictures My Rights, perjuang isu hak kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak kanak-kanak dan cabaran yang memberi kesan kepada mereka, UNICEF Malaysia mengambil pendekatan melancarkan kempen Picture My Rights #aShotatLife.

Ketua Komunikasi dan Advokasi Awam UNICEF Malaysia, Marc Vegara berkata, peraduan ini merupakan platform buat golongan muda berkongsi kreativiti, keberanian dan keyakinan mereka dalam membantu mengubah dunia.

Tambah Vegara lagi, dengan kewujudan kemajuan teknologi, golongan muda mempunyai peralatan serta sokongan dalam menyuarakan isu-isu yang dipercayai.

“Kami minta untuk mereka mengembangkan kreativiti, supaya mereka boleh menunjukkan gambaran yang menarik dan menceritakan bagaimana golongan muda melihat hak-hak mereka di Malaysia hari ini. Kami ingin mereka mengambil gambar demi kehidupan.

“Perkara 13 dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, golongan mereka berhak mempunyai kebebasan bersuara melalui apa-apa yang dipilih oleh kanak-kanak itu.

“Picture My Rights mengajak golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai hak kanak-kanak dan isu-isu yang penting kepada mereka melalui saluran media dalam bentuk gambar atau foto,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Vegara berkata, golongan muda yang berumur 13 hingga 24 tahun dan menetap di Malaysia dijemput untuk menghantar gambar yang menunjukkan salah satu daripada lima tema berbeza.

Peluang yang adil dan martabat
Kanak-kanak mempunyai hak untuk dilayan dengan hormat tanpa mengira jantina, bangsa, agama atau kerakyatan, mahupun jika mereka kekurangan anggota badan atau mental. Mereka berhak menjalani kehidupan dengan bermaruah.

Pembangunan dan daya tahan
Tempat perlindungan, makanan berkhasiat, air yang bersih, rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan adalah keperluan asas kepada setiap kanak-kanak untuk teruskan kehidupan dan berkembang maju. Mereka mempunyai hak untuk membesar dalam keadaan bersih, selamat dan sihat.

Pendidikan
Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti – bukan hanya merujuk di sekolah sahaja. Pendidikan kanak-kanak perlu merangkumi pembentukan personaliti dan kebolehan serta membantu mereka dalam menghormati sesama insan, budaya dan persekitaran alam.

Perlindungan daripada keganasan
Kanak-kanak tidak sepatutnya mengalami penderaan, buli, keganasan seksual, eksploitasi atau pengabaian – sama ada di rumah, di sekolah, di institusi ataupun di dalam talian. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi daripada kecederaan atau dilayan dengan teruk dalam apa jua cara.

Penyertaan
Kanak-kanak berhak untuk menyuarakan pendapat secara terbuka, terutama isu yang memberi kesan kepada mereka. Mereka berhak untuk berkongsikan pendapat melalui saluran media seperti fotografi, lukisan, penulisan atau apa-apa cara sekalipun, melainkan ia mencederakan orang lain.

Menurut Vergara lagi, penyertaan kanak-kanak dalam kempen ini membuka peluang untuk mereka bersuara mengenai isu dan keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka, mempelajari skil baru sambil berseronok, serta mendekatkan jalinan hubungan kepada komuniti.

“Melalui Picture My Rights, kami ingin memupuk golongan muda Malaysia untuk berkongsikan idea mereka secara terbuka dan tunjukkan kami kehidupan anda melalui lensa kamera,”katanya.

Kempen ini berlangsung selama dua bulan bermula dari 17 Julai hingga 20 September 2023.

Peserta perlu menyiarkan gambar yang terbaik di platform Instagram sendiri beserta kapsyen yang mengandungi hastag #PictureMyRights dan #AShotatLife. Buat mereka yang tidak mempunyai akaun Instagram atau akaun Instagram dalam tetapan privasi, sila hantar gambar melalui e-mel [email protected].

Dapatkan maklumat lanjut tentang peraduan dan hak kanak-kanak di laman web rasmi https://children4change.unicef.my/picture-my-rights.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya