ARAU: Seramai 9.67 juta pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri esok perlu menterjemahkan undi bukan mengikut emosi dalam memilih calon yang benar-benar layak untuk memimpin.
Lebih separuh daripada jumlah pengundi itu difahamkan merupakan belia di bawah umur 39 tahun dengan 661,905 pengundi berumur antara 18-20 tahun serta 2.16 juta pengundi berumur 21-29 tahun dan sebanyak 2.16 juta pula berumur antara 30-39 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, para pengundi perlu menggunakan peluang tersebut memilih pemimpin yang benar-benar layak, baik, amanah, bertanggungjawab dan berwibawa dalam memimpin negeri-negeri tersebut.
Katanya, hal demikian penting bagi membawa kepada kestabilan politik dan ekonomi, sekali gus memakmurkan sebuah negeri dan memberi keselesaan kepada rakyat.
“Kebiasaan, rata-rata rakyat gemar cakap-cakap politik di kedai-kedai kopi dan media sosial namun ada yang hanya bercakap sahaja namun tidak diterjemahkan dalam kertas undi. Ini amat merugikan rakyat, negeri dan negara.
“Sebagai rakyat yang layak mengundi, tolong terjemahkan melalui hati dan bukan emosi di kertas undi agar dapat memilih calon yang benar-benar layak untuk memimpin,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat juga desas-desus kemungkinan ada rakyat yang layak mengundi tidak mahu mengundi atau ada niat untuk merosakkan undi.
Katanya, antara faktor mereka tidak mahu mengundi tersebut berkemungkinan disebabkan letih dengan sikap parti-parti yang bertanding kerana tiada perubahan yang dibawa kepada rakyat selain bahan-bahan kempen yang berbaur hasutan, tuduh menuduh yang tidak mendatangkan hasil pada rakyat.
“Kebanyakan bahan kempen dihidangkan kepada rakyat dengan ayat-ayat sandiwara, janji-janji kosong dan tiada hasil selepas kempen. Sebenarnya adalah menjadi kerugian jika peratusan mengundi rendah. Justeru, bagi meningkatkan pengundian, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu aktif dalam meningkatkan kesedaran kepada rakyat.
“Kerajaan juga boleh mewajibkan semua lapisan rakyat yang layak mengundi wajib mengundi. Jika tidak mengundi, boleh dikenakan denda seperti yang dipraktikkan oleh Singapura dan beberapa negara dunia yang lain.
“Adalah satu kerugian jika rakyat yang layak mengundi tidak menunaikan tanggungjawab tersebut.
“Selain itu. tokoh- tokoh agama, cendekiawan dan profesional juga perlu menyatakan nasihat dan panduan bagi pengundi dan kenapa perlu mengundi sebagai perkongsian dan rujukan,” katanya.-UTUSAN