Umur 11 tahun sudah rasa kerja 20 jam - Syed Ali

Umur 11 tahun sudah rasa kerja 20 jam – Syed Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAJAHNYA sering menghiasi drama, telefilem dan iklan sejak menceburi bidang lakonan ketika berusia sembilan tahun.

Syed Ali Murtadha yang kini menginjak usia 14 tahun bersyukur kerana diberi kepercayaan membintangi watak kanak-kanak dalam filem Rahsia.

Kongsinya, naskhah seram itu adalah filem pertama yang dilakonkan sejak bergiat aktif dalam bidang seni, lima tahun lalu.

“Filem Rahsia menjalani penggambaran pada awal Februari 2020, ketika saya berusia 11 tahun.

“Saya memegang watak sebagai Saiful yang merupakan anak kepada pelakon utama. Syukur juga terpilih sebab ramai pelakon lain yang datang semasa sesi ujibakat untuk pemilihan watak tersebut,” katanya.

Disoal cabaran yang perlu digalas ketika masih bergelar remaja, Syed Ali berkata, pengalaman menjalani penggambaran dalam tempoh panjang tidak akan dilupakan.

“Memang rasa penat sebab ada satu hari yang perlu bekerja lebih 20 jam.

“Ada juga pengalaman perlu tidur di sebuah rumah yang tidak selesa kerana banyak prop seperti patung selain banyak kejadian aneh yang berlaku pada kru.

“Selain itu, ada satu babak yang membuatkan saya berasa gayat kerana melibatkan ketinggian tetapi ada pelakon lagak ngeri yang jaga di belakang. Hendak tahu lanjut, kena saksikan filem ini,” katanya.

Filem Rahsia yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan Five Star Trading akan menjengah pawagam bermula 10 Ogos depan.

TAK SENGAJA BERLAKON

Syed Ali berkata, sebenarnya dia memasuki bidang lakonan ini secara tidak sengaja.

Kongsinya, dia dan bapanya terlihat sesi ujibakat yang sedang dijalankan ketika mengunjungi sebuah pusat beli-belah.

“Saya saja-saja cuba dan beranikan diri. Ketika itu Sheila Rusly (pelakon dan penerbit) jadi juri dan dia tegur saya boleh berlakon.

“Seminggu selepas itu, Media Prima ada menghubungi saya untuk membintangi Ketupat Untuk Ariana. Itulah telefilem pertama saya,” katanya yang bersekolah di Rawang.

Disoal pembahagian masa belajar dan berlakon, Syed Ali berkata, pihak sekolah memberikan kelonggaran dan kebenaran kepada dirinya.

“Kadang-kadang memang ganggu masa belajar, tetapi pihak produksi akan bagi surat kebenaran. Alhamdulillah, pihak sekolah selalunya memberikan kebenaran dan keizinan untuk berlakon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya