IPOH: UMNO Perak mempertahankan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden walaupun beliau didesak meletak jawatan susulan kekalahan banyak kerusi ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu berdasarkan mesyuarat UMNO negeri semalam
“Mesyuarat Perhubungan UMNO Perak semalam sebulat suara mengekalkan (Ahmad Zahid) Presiden parti.
“Mengapa sejak sekian lama DAP atau Pas tidak menang pilihan raya, tiada desakan kepada pemimpin parti itu untuk meletakkan jawatan termasuk ketika Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Melaka dan Johor dua tahun lalu.
“Tiada jaminan jika Ahmad Zahid letak jawatan, orang Pas akan sokong UMNO, tiada jaminan orang Bersatu akan bubar parti dan masuk UMNO.
“Nasihat saya ahli UMNO, tidak perlu menari ikut gendang orang luar UMNO,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, Kerajaan Perpaduan Perak kekal stabil dan kukuh dan tidak akan berlaku sebarang situasi lompat parti di negeri ini selepas PRN.
Menurutnya, apatah lagi keputusan enam PRN Sabtu lalu menunjukkan setiap parti sekadar mempertahankan pemerintahan masing-masing.
“Perikatan Nasional (PN) bukan menang 6-0 pun. Mereka hanya mempertahankan tiga negeri yang diperintah sebelum ini. Jika sekali pun menang kesemuanya, tiada kena mengena dengan pembentukan kerajaan Pusat dan Perak.
“Melabelkan usaha kononnya PN mahu menghulurkan kerjasama dengan UMNO di Perak adalah satu percubaan nakal.
“Saya beri jaminan kerana semalam saya sudah jumpa semua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan esok petang pula saya akan jumpa semua ADUN Kerajaan Perpaduan Perak,” katanya. – UTUSAN