Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri kelmarin menyaksikan prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus merosot apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi iaitu merangkumi sekitar 17.5 peratus sekali gus memberi tamparan cukup hebat kepada parti yang sebelum ini menjadi tempat kebergantungan orang Melayu dan Islam itu.
UMNO kalah di semua kerusi di Kedah dan Terengganu dengan hanya menang satu kerusi di Kelantan, dua di Selangor, 14 di Negeri Sembilan dan dua di Pulau Pinang.
Di Kedah, Perikatan Nasional (PN) berjaya menguasai 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kelantan pula, gabungan itu menang 43 daripada 45 kerusi DUN dan seterusnya Terengganu, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN tanpa meninggalkan satu kerusi sekali pun kepada BN-Pakatan Harapan (PH).
PN juga menunjukkan prestasi cemerlang di Selangor dengan menggagalkan majoriti dua pertiga PH-BN di negeri tersebut apabila menang 22 kerusi daripada 56 serta berjaya menembusi Pulau Pinang setelah menang 11 daripada keseluruhan 40 kerusi.
Malah, sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahap sokongan orang Melayu dilihat sudah beralih secara keseluruhan kepada Pas dan PN dengan PRN kali menampakkan sokongan terhadap UMNO semakin teruk dan tidak mustahil bakal menjadi seperti MCA yang hilang sedikit demi sedikit sokongan seterusnya tenggelam.
Jika dilihat, prestasi UMNO dan BN mula merosot sejak 2008 dan tidak menampakkan tambahan sokongan pada PRU13, PRU14, PRU15 dan terkini PRN meskipun pernah bangkit dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN pasca PRU14 lalu.
Manakala Pas dan DAP khususnya terus menjadi parti paling cemerlang dengan penambahan kemenangan kerusi cukup luar biasa. Pas menang sekitar 105 daripada 126 kerusi iaitu merangkumi 82.7 peratus manakala DAP memenangi 46 daripada 47 kerusi yang mereka tandingi dalam PRN ini. Pas hanya kalah di 22 kerusi sahaja daripada 126 yang ditandingi.
Manakala prestasi PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga didapati merosot dengan PKR menang di 26 kerusi manakala 33 kerusi lagi kalah dengan peratusan kemenangan sekitar 44.1 peratus, manakala Amanah hanya menang lapan dan kalah 23 kerusi dengan peratusan kemenangan pula 25.8 peratus.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menang 40 kerusi atau 49.4 peratus dan kalah 41 kerusi selain Gerakan hanya menang satu kerusi dengan merekodkan kekalahan di 36 kerusi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, kemerosotan sokongan terhadap UMNO kerana orang Melayu dan Islam sudah mempunyai alternatif lain iaitu PN membabitkan Pas dan Bersatu.
Katanya, gabungan tersebut juga dilihat sebagai alternatif bagi perjuangan naratif agama, bangsa dan tanah air atau ‘Abata’ yang sebelum ini menjadi kekuatan UMNO.
Ujarnya, blok gabungan dominasi kaum Melayu yang cukup mantap termasuk daripada soal pembahagian kerusi sebelum ini yang tidak mempunyai banyak masalah mengukuhkan lagi gabungan berkenaan dalam menggantikan UMNO sebagai tempat kebergantungan orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Melihat kepada situasi ini, tidak mustahil UMNO bakal menjadi seperti MCA yang akhirnya terus tenggelam sedikit demi sedikit memandangkan orang Melayu Islam sudah mempunyai alternatif lain iaitu PN. Bersama PH ketika ini, UMNO dilihat ada tidak bertambah dan pergi tidak berkurang. Jasa UMNO hanya mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di dalam kerajaan Perpaduan.
“Melihat kepada keputusan PRN ini juga, blok PN boleh mendominasi politik Malaysia dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang. UMNO dan BN perlu melihat semula untuk kembali mendapat sokongan Melayu dengan kembali kepada blok parti Melayu Islam itu. Jika tidak, tidak mustahil UMNO akan terus tenggelam.
“PN telah membuktikan mereka berakar tunjang kukuh di kawasan Melayu dan PH dengan bantuan UMNO pun tidak mampu menang,” katanya.
Tambah Muhammad Izmer, prestasi Pas pula terus mengukuh dan tahap sokongan terhadap parti Islam itu sebenarnya sudah mula meningkat sejak 2018.
“Antara faktor kebangkitan Pas ini juga apabila tahap kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO ini mula menurun. Pas juga sudah tidak fokus kepada parti ‘lebai’ sebaliknya sudah menampilkan banyak teknokrat di dalam parti itu. Selain itu, Pas juga tidak menunjukkan sifat ‘abang long’ meskipun mendominasi di dalam PN,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, DAP terus kukuh di kerusi-kerusi bukan Melayu dan tahap sokongan tidak langsung terjejas.-UTUSAN