UMK tubuh pusat penyelidikan, keusahawanan berimpak tinggi

UMK tubuh pusat penyelidikan, keusahawanan berimpak tinggi

MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kiri) diberi taklimat semasa mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Kelantan di Bachok, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengorak langkah ke depan apabila menubuhkan pusat penyelidikan dan keusahawanan berimpak tinggi sebagai menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meletakkan Malaysia berada di kedudukan ekonomi serantau serta global.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, UMK menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) membangunkan pusat kecemerlangan penyelidikan dan inkubator keusahawanan meliputi semua bidang iaitu sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan, kesenian serta kerjasama strategik.

Katanya, ia melibatkan penubuhan Gold Rare Earth and Material Technopreneurship Centre (Great), UMK Tropical Rainforest Research Centre (Trace), Institusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad UMK Research Academy (Aura), Pusat Pemikiran Keamanan dan Kesejahteraan Insan (Pemikir) dan Ignite Venture Lab (IVL).

“Usaha ini bagi menyokong cadangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memastikan dasar pendidikan tinggi sedia ada ditambah baik dan diselaraskan semula selari dengan kerangka Ekonomi Madani yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pemindahan dan perkongsian ilmu kepada masyarakat, tetapi dapat menjana pendapatan kepada universiti,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Razli berkata, Great adalah sebuah pusat perkhidmatan bagi menjalankan analisis emas dan logam bumi yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat di bawah Kerajaan Negeri Kelantan seperti PMBK Azhab Sdn. Bhd. untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahan mineral dan lain-lain di negeri ini.

Katanya, penubuhan Trace pula adalah usaha melestarikan alam sekitar menerusi projek kerjasama UMK dan Yayasan Pulau Banding dan Kumpulan EMKAY untuk menggalakkan kajian serta keterlibatan menyeluruh dalam pengurusan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor.

“Selain itu, menerusi penubuhan Aura ini, saya lihat ia mampu menjadi pusat rujukan dalam bidang program keusahawanan koperasi melalui kerjasama pintar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa),” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Dr. Arham Abdullah berkata, universiti itu turut mewujudkan Pemikir di bawah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI) yang bermatlamat mendukung pengembangan ilmu dalam bidang berkaitan keamanan dan kesejahteraan insan melalui penyelidikan, penerbitan, persidangan, wacana ilmiah, perundingan serta pasca siswazah.

Katanya, Pemikir memainkan peranan melalui pendekatan akademik dalam mentransformasikan pemikiran masyarakat berkaitan isu nilai serta pembangunan insan dan pada masa sama FBI yang mempunyai Pusat Terjemahan dan Manuskrip UMK-ITBM (UMK-ITBM TERJEMAH) berfungsi sebagai hab terjemahan serta kajian manuskrip di kawasan pantai timur.

“Dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan, UMK mengambil inisiatif menubuhkan Ignite Venture Lab (IVL) dalam misi melahirkan usahawan berteraskan inovasi pada masa depan. Makmal inovasi ini bertujuan menyediakan ruang inovatif, fasiliti dan latihan bagi melancarkan permulaan syarikat oleh pelajar atau usahawan dalam pelbagai industri termasuk keusahawanan sosial, pertanian dan teknologi pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasinya, Prof. Dr. Julie Juliewatty Mohamed berkata, Menteri Pendidikan Tinggi turut menyatakan persetujuan dengan cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Pendidikan Tinggi sebagai usaha memacu agenda keusahawanan di Malaysia dan rantau Asia.

Katanya, inisiatif yang diperkenal UMK itu diharap dapat menyokong perancangan dan hala tuju pendidikan tinggi dalam kerangka besar ekonomi Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya