SHAH ALAM: Dakwaan penutupan 200 pusat tahfiz di negeri ini adalah tidak berasas dan fitnah berikutan tiada bukti atau sebarang dokumen yang mengarahkan tindakan sedemikian dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS), Muhd. Hafiz Haneefa berkata, dakwaan tersebut sepatutnya disertakan dokumen yang lengkap agar tidak menjadi pertikaian antara pihak berkuasa agama dan rakyat.
“Beritahu pada saya fakta mana, sekolah yang mendapat surat arahan penutupan. Perkara ini saya sahkan sendiri dengan Pengerusi Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) yang mana mereka juga terkejut dari mana datang kenyataan tersebut. Tiada siapa yang dapat sahkan.
“Apa yang pasti proses pemutihan pusat tahfiz sedang berjalan sejak 2017 hingga kini. Perkembangan terbaru, 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bersetuju dengan satu garis panduan untuk pelaksanaan proses pemutihan yang membantu pusat tahfiz dan sekolah agama,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal terhadap fitnah berkenaan yang dilemparkan kepada pihak berkuasa agama Selangor dan pihak berkuasa tempatan.
Fitnah tersebut kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, polis menerima tiga laporan terhadap kenyataan fitnah berkaitan dakwaan terdapat arahan penutupan institusi tersebut.
Dalam pada itu, Muhd. Hafiz turut mengkritik kewajaran membawa pelajar-pelajar tahfiz ke sebuah konsert baru-baru ini walaupun kehadiran atas kapasiti penghuni rumah kebajikan.
“Secara dasarnya tidak wajar pelajar-pelajar tahfiz dibawa menonton konsert yang mengandungi perkara-perkara yang tidak sewajarnya. Apa yang pasti pelajar yang hadir ke konsert tersebut merupakan penghuni pusat kebajikan kepada pelarian Rohingya di TTDI dan disahkan individu yang menjemput sendiri mereka.
“Sebenarnya ada juga pelajar pusat tahfiz yang dijemput tetapi untuk makan sahaja pada petang tersebut, kemudian semuanya balik. Saya tidak tahu macam mana, guru pelajar terbabit mungkin tidak faham bahasa dan mereka hadir di sana (konsert),” jelasnya.
Katanya lagi, PITAS akan mencadangkan satu garis panduan yang dibentuk dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan jemputan untuk pelajar pusat tahfiz diselaraskan untuk program yang patuh syariah terutama melibatkan jemputan oleh pihak bukan Islam. – UTUSAN