Tuntutan baki gaji Teong Kim masih buntu - Utusan Malaysia

Tuntutan baki gaji Teong Kim masih buntu

LIM Teong Kim (kiri) dan Bobie Farid Shamsuddin ketika bertemu pada perbincangan mengenai tuntutan bayaran baki kontrak di Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbincangan mengenai tuntutan bayaran baki kontrak bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim mengalami jalan buntu.

Ini kerana perbincangan kali kedua di antara Teong Kim dengan Perak FC hari ini tidak mencapai sebarang persetujuan.

Pertemuan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak, Bangunan Persekutuan Ipoh di sini diharapkan sebagai perbincangan terakhir, namun ia meleset kerana perbincangan perdamaian gagal menemui hasil.

Dalam pertemuan itu, Perak FC diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi (COO), Meor Azli Meor Mahmood.

Teong Kim berkata, perbincangan untuk perdamaian hari ini gagal namun mereka akan cuba sekali lagi sebelum 26 Ogos ini.

“Kalau tak capai persetujuan pada tarikh itu, kita akan pergi ke Mahkamah Perusahaan.

“Jika boleh kami tak mahu sampai ke mahkamah dan harap boleh capai perdamaian, ini bukan soal gaji sahaja,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut di sini hari ini.

Teong Kim bagaimanapun berkata, dia tidak boleh memaklumkan butiran yang tidak dipersetujui itu.

Sementara itu, peguam Teong Kim, Adam Adam Yap Boon Han berkata, kedua-dua pihak tidak mencapai keharmonian setakat ini.

“Jadi usaha akan dibuat jabatan ini untuk mencapai keharmonian perusahaan dan kali terakhir pada akhir bulan ini. Kalau tidak tercapai, mengikut undang-undang akan bawa ke Mahkamah Perusahaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, Teong Kim berhak melakukan apa yang difikirkan untuk dilakukan.

“Namu kita kekal dengan pendirian kita. Dia boleh buat apa yang dia fikir betul, kita dah berbincang dua kali, jadi kita terus ke depan.

“Perak FC hanya mengikut apa yang Teong Kim minta dan kami mahu diselesaikan secara perdamaian,” katanya.

Menurutnya, isu itu tidak mengganggu pasukan untuk membina kelab dan terus fokus apatah lagi suasana semakin bagus seperti yang dimahukan kelab.

Sebelum ini kedua-dua pihak bertemu buat kali pertama untuk membincangkan isu itu di Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak pada 26 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya