KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta pegawai dan anggota polis serta pasangan mereka yang terlibat mengundi awal dalam pilihan raya di enam negeri esok, supaya menjalankan tanggungjawab bagi proses demokrasi.
Tegas beliau, tiada alasan untuk mereka tidak menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia kerana proses itu adalah satu hak yang diamanahkan untuk dilaksanakan.
“Ini adalah satu manifestasi kepada rakyat bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendokong proses demokrasi dalam mengundi. Oleh itu, sila laksanakan akauntabiliti mengundi oleh semua warga PDRM yang terlibat.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat bertugas kepada semua warga PDRM yang terlibat sejak hari penamaan calon, tempoh berkempen dan tempoh mengundi pada Sabtu ini sehingga pasca PRN,” katanya ketika berucap pada amanat PRN warga PDRM.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, warga PDRM haruslah melaksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi.
“Warga PDRM diminta mengekalkan tahap profesional yang tinggi dan kawal emosi ketika berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi,” jelasnya.
Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya, undi awal melibatkan 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat pilihan raya negeri.
Seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan terlibat dengan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari penamaan calon, berakhir 11.59 malam, 11 Ogos. – UTUSAN