PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilapor dibenar keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas empat hari menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurut portal FMT yang memetik sumber kepada AFP, pegawai bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN pada Selasa lalu untuk pemeriksaan biasa.
“Ya, Mahathir sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Semalam, media melaporkan, Dr. Mahathir dimasukkan selepas dipercayai mengalami jangkitan.
Selain itu, Utusan Online melaporkan, facebook rasmi negarawan itu berkongsi dua gambar yang menunjukkan beliau dalam keadaan sihat wal’afiat.
Dr. Mahathir masih melakukan tugasnya dengan menulis dan meneliti beberapa fail di wad hospitalnya di IJN semalam. – UTUSAN