KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih melakukan tugasnya dengan menulis dan meneliti beberapa fail ketika menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.
Facebook rasmi negarawan itu berkongsi dua gambar yang menunjukkan beliau dalam keadaan sihat.
Akaun media sosial itu sekali gus mengesahkan bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan dimasukkan ke IJN kerana mendapat jangkitan pada Selasa lalu.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis dan meneliti beberapa fail di wad hospitalnya di Institut Jantung Negara pada Khamis (hari ini),” kata perkongsian itu malam ini.
Media hari ini melaporkan, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN sejak Selasa lalu dan sedang dirawat kerana dipercayai mengalami jangkitan.
Terdahulu, tular di media sosial bekas Ahli Parlimen Langkawi itu didakwa kritikal dan dirawat di IJN.
Bagaimanapun, pejabat Tun Dr. Mahathir memberitahu media bahawa keadaan beliau tidak membimbangkan.
Pada Januari tahun lalu, beliau pernah dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur elektif.
Pada 31 Ogos tahun lalu, beliau disahkan positif Covid-19 dan dirawat di tempat sama. – UTUSAN