PETALING JAYA: Tular rakaman video Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan saudara baharu di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, Selangor.
Video berdurasi 1 minit 26 saat itu tular di laman media sosial sejak pukul 3 petang tadi.
Dalam rakaman tersebut, Perdana Menteri dipercayai mengajar saudara baharu itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum disambut laungan takbir oleh jemaah yang hadir.
Turut bersama Anwar dalam rakaman itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, Anwar sebelum itu antara pemimpin yang melawat keluarga mangsa yang terlibat dengan nahas pesawat terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Beliau sebelum ini dijadual menunaikan solat Jumaat di Sri Petaling, tetapi memilih Masjid Ar-Rahimiah, Klang selepas bergegas ke HTAR. -UTUSAN