Tukang cat, mekanik didenda RM4,000 pukul lelaki guna batang aluminium - Utusan Malaysia

Tukang cat, mekanik didenda RM4,000 pukul lelaki guna batang aluminium

HELMI Zaharuddin (kiri) dan Aslam Suliman didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki dalam kejadian minggu lalu ketika didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua lelaki masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki menggunakan batang aluminium, minggu lalu.

Tertuduh, Helmi Zaharuddin, 43, dan Aslam Suliman, 28, juga berdepan hukuman penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dikenakan ke atas mereka selepas membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas K. Gopal, 34, di bahagian kepala dengan menggunakan batang aluminium.

Perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di tepi jalan Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun pada pukul 5.30 petang, 27 Julai 2023.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Norzam manakala Helmi dan Aslam yang masing-masing bekerja sebagai tukang cat motosikal dan mekanik diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G. Harbhajan Singh.

Terdahulu, Nabilah memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran namun Harbhajan yang mewakili anak guamnya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum memandangkan kes itu merupakan kesalahan pertama selain telah insaf dengan perbuatan tersebut.

Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, Aslam dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau tiga bulan penjara atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan, tahun lalu.

Jesseca turut memerintah tertuduh supaya menjalani pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama tempoh dua tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada pukul 8.40 malam, 24 Oktober 2022.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Media Sabtu lalu melaporkan, lima lelaki diburu polis berikutan penularan video berdurasi 16 saat yang memaparkan aksi pergaduhan sekumpulan lelaki di atas jalan menggunakan senjata dipercayai rotan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya