Tuduhan palsu dan bermotif politik - Muhyiddin

Tuduhan palsu, bermotif politik – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan empat pertuduhan salah guna kedudukan yang dikenakan terhadapnya adalah palsu dan bermotif politik.

Bekas Perdana Menteri menyatakan, keempat-empat pertuduhan langsung tidak menepati kehendak di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujar Muhyiddin, pendakwaan terhadapnya juga merupakan satu penyalahgunaan kuasa mahkamah oleh pihak tertentu walhal beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti pertuduhan.

“Saya bersyukur dan akan terus berusaha menjelaskan kepada khalayak umum berkenaan tindakan pihak tertentu untuk menganiaya saya.

“Hari ini terbukti pertuduhan-pertuduhan itu adalah palsu, tidak benar dan tidak langsung menepati undang-undang untuk dibicarakan.

“Hujahan daripada pihak pembelaan yang mewakili saya adalah kukuh serta mempunyai asas yang kuat maka disebabkan perkara itu, mahkamah memutuskan pertuduhan terhadap saya digugurkan,” ujar beliau di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Muhyiddin ditemui selepas dibebaskan oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin daripada keempat-empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama isteri yang memberi semangat selain akan terus berjuang bersama Bersatu untuk menegakkan keadilan.

Sementara itu, pasukan pembelaan yang mewakili Muhyiddin yakin bahawa tiga lagi pertuduhan kes di bawah pengubahan wang haram, akan digugurkan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, tiga tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) tidak akan kekal.

Bagi pertuduhan AMLA, Muhyiddin didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Pada 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya