SEPANG: Pengunjung yang ingin bersantai di Batu Laut akan menikmati perkhidmatan trem disediakan untuk membawa mereka melawat beberapa perkampungan di sekitarnya.
Usaha terbaharu itu menurut calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah, antara inisiatif bakal ditawarkan kepada pelawat luar di kawasan tersebut.
“Saya mendapati ramai yang datang ke Batu Laut ini sekadar berkelah atau berkhemah tanpa menyedari sekitar lokasi itu ada banyak tarikan,” jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Trem ini ujar beliau, akan membawa pelawat ke beberapa kampung yang menawarkan pelbagai produk makanan tradisional dan kraftangan penduduk dengan harga berpatutan antaranya perusahaan tempe dan belacan selain cenderamata dengan imej unik Batu Laut.
Idea mengenai trem berkenaan tercetus ketika Borhan yang juga Exco Kerajaan negeri sejak penggal lalu, melawat beberapa lokasi unik sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam sekali gus berjaya mempopularkan banyak destinasi menarik di dua daerah tersebut yang terkenal keindahan panorama sawah padi.
Lokasi itu terletak di tepi jalan besar antara Morib dan Tanjong Sepat, sebelum itu kurang dikenali ramai berbanding Pantai Bagan Lalang yang popular dengan Sepang Gold Coast.
Selain itu, Borhan juga mengesyorkan dibina sebuah model rumah nelayan ‘terbalik’ yang ketika ini dikatakan hanya terdapat di Sabah untuk menarik kunjungan pelancong.
Replika tersebut tambah beliau, akan memaparkan suasana tipikal kediaman nelayan tempatan dan ada ruang khas dengan imej pelbagai tiga dimensi untuk pelawat berswafoto.
“Beberapa premis perniagaan kecil bagi penduduk dapat jual produk kepada pelancong dan meningkatkan ekonomi masyarakat juga akan dibina di sekitar Batu Laut,” katanya.
Langkah jangka panjang itu jelasnya, antara tekad beliau sendiri sebagai anak jati Tanjong Sepat yang mahu melihat pembangunan kawasan tersebut dan tidak ketinggalan jauh. – UTUSAN