TAPAH: Nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 317.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Chenderiang semalam, dipercayai berpunca daripada treler muatan simen yang hilang kawalan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati treler dipandu lelaki berusia 31 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi tengah jalan sebelum bertembung lori muatan buah tembikai dan sebuah pacuan empat roda.
Katanya, akibat pelanggaran itu, pemandu treler terbabit dan pemandu lori berusia 67 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu wanita berusia 47 tahun cedera di muka.
“Ketika kejadian, treler muatan simen itu dalam perjalanan dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur manakala dua kenderaan lain pula dari arah selatan ke utara.
“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati pemandu treler muatan simen mempunyai 13 rekod saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Katanya, saman tersebut direkodkan sejak 2010 hingga kini di mana satu daripadanya membabitkan nahas jalan raya pada tahun 2018.
“Mayat kedua-dua pemandu kenderaan berat itu dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu treler muatan tembikai, Jantan Arshad dan Nur Ihkswan Azami yang memandu treler muatan simen. – UTUSAN