Transisi Diana Danielle kepada nyanyian - Utusan Malaysia

Transisi Diana Danielle kepada nyanyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT menyanyi dari kecil membuatkan pelakon, Diana Danielle, 32, mahu menjadi lebih serius dalam bidang seni suara sekali gus membuktikan keupayaan dirinya dalam cabang seni lain. 

Bagi ibu dua anak ini, baik menyanyi atau berlakon, ia adalah terapi terbaik untuk meluahkan segala isi hati yang terpendam dan terbuku selama ini. 

Transisi daripada seorang pelakon kepada penyanyi bukan bermaksud pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson ini mahu meninggalkan karier lakonan, sebaliknya dia hanya akan memilih naskhah yang benar-benar berkualiti. 

“Kalau perasan saya hanya berlakon setahun sekali sahaja, sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya dalam transisi menjadi penyanyi, kalau ambil tawaran berlakon ia akan mengganggu perancangan jadi penyanyi.

“Dari kecil memang saya suka menyanyi depan orang lain. Pernah buat girl group dan buat persembahan di depan rakan-rakan ibu. Dulu, saya juga selalu menyanyi dalam bilik sampai pukul 4 pagi. 

“Menyanyi adalah perkara yang saya teringin buat sejak dahulu lagi. Sebab itu, saya terus ambil peluang ini dan mulakan benda baharu. Jadi perlu fokus 100 peratus,” katanya. 

Percaya tiada jalan pintas, Diana berkata, dia sedia menempuh segala ujian, cabaran dan rintangan untuk bergelar penyanyi yang berjaya dan berkaliber. 

Untuk itu, dia perlu menggalas tugas berat bagi mengubah persepsi dan meyakinkan khalayak mengenai kemampuan sebenar dirinya.       

“Kita tak feeling (perasan bagus). Saya ada pergi kelas vokal dan belajar dengan beberapa guru termasuk cikgu Sarah Ismail.    

 “Apa yang penting saya akan terus berjuang dan tidak berputus asa. Sebelum ini, banyak kali cuba jadi penyanyi, mungkin ini adalah masanya,” kongsinya. 

Disoal menguruskan perasaan gementar dan gugup apabila diperhatikan ramai di atas pentas kelak, pelakon Imaginur ini menyedari ia adalah satu proses serta perjalanan yang panjang untuk ditempuhi.  

“Sama seperti berlakon juga. Kalau di set penggambaran, orang ramai tak nampak apa yang saya lalui. 

“Kadang-kadang dialog ringkas pun terpaksa banyak kali ulang sampai kena marah dengan pengarah. Orang label saya ‘kayu’, berlakon harapkan muka sahaja, semuanya saya sudah pernah lalui. 

“Sama juga seperti menyanyi, ia adalah proses dan mungkin satu hari nanti perasaan gementar itu akan hilang apabila membuat persembahan di pentas. Perlahan-lahan ia adalah proses mematangkan diri sendiri,” katanya. 

Menyedari perubahan zaman digital, Diana berkata, semuanya sudah bergantung pada platform media sosial dan penstriman sekali gus memudahkan sesebuah lagu itu sampai kepada pendengar. 

Namun begitu, kata Diana, dia tidak menolak peluang untuk menghasilkan album sendiri sekali gus menjadi signature buat dirinya dalam bidang seni. 

“Mungkin tahun depan saya boleh keluarkan album tetapi perlu hasilkan beberapa single lain terlebih dahulu. 

“Ikutkan saya sudah ada beberapa lagu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan masih rekod beberapa lagu lain. Jadi, belum nampak genre atau bentuk album itu lagi,” katanya. 

BERSAMA DENGAN RINDU

Diana melancarkan single baharu berjudul Bersama Dengan Rindu yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong di bawah terbitan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia. 

Kongsinya, proses rakaman lagu juga berjalan lancar kerana hanya mengambil masa selama dua jam sahaja, manakala proses video muzik memakan masa sehari sahaja walaupun terpaksa melakukan rakaman semula.  

  “Lagu ini tiada sebarang kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Ia juga adalah lagu Bahasa Melayu pertama yang saya keluarkan disebabkan suka dengan melodi dan liriknya. 

“Ikutkan lagu ini sudah dirakam sejak tahun lalu, tetapi tak boleh keluarkan lagi sebab perlu jaga sensitiviti ketika itu (kes cerai). 

“Masa itu saya sedang melalui isu peribadi. Kalau ikutkan mungkin boleh meletup kalau keluarkan lagu masa itu, tetapi tidak sesuai,” katanya selepas lapan tahun tidak melancarkan sebarang lagu baharu.  

Single berkonsepkan ‘patah hati’ itu menceritakan mengenai cinta yang semakin lama semakin jauh dan renggang. Ia juga menggambarkan perasaan perit apabila kehilangan orang yang dicintai serta harapan yang masih tersisa. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya