KALI terakhir penyanyi bertaraf legenda, Datuk Zainal Abidin mengeluarkan single adalah kira-kira lebih enam tahun lalu menerusi Menari Denganmu yang menampilkan penyanyi rap, Sasi The Don.
Tahun ini, penyanyi bersuara emas ini mengubat rindu peminat dengan sebuah lagu baharu berjudul Tiba Masa.
Zainal baru-baru ini hadir ke pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. bagi mempromosikan lagu itu. Saya sifatkan Tiba Masa sebagai ‘makanan jiwa sebenar’ selepas berpeluang mendengar lagu berkenaan.
“Kira-kira 30 tahun lalu, saya keluarkan lagu Hijau yang bercerita tentang alam sekitar, sarat dengan mesej kesedaran, pesanan, amaran tentang khazanah alam.
“Selepas 30 tahun berkempen dan menyanyi untuk kesedaran dan nasihat, saya ceritakan tentang apa yang berlaku sekarang.
“Ia adalah konklusi lagu Hijau, berkenaan kemusnahan (alam) gara-gara kerakusan manusia mengejar pembangunan,” kongsinya.
Zainal juga sedar akan hasrat peminat yang ingin sekali lagi melihat penyanyi ini beraksi dalam sebuah konsert.
Bagi merealisasikan hasrat itu, selain lagu baharu, Zainal juga bakal beraksi dalam sebuah konsert diberi nama Tiba Masa, bakal diadakan 30 September ini di Istana Budaya.
“Konsert tersebut akan berlangsung antara satu jam setengah hingga dua jam, yang mana 40 minit awal saya dedikasikan dekad bersama kumpulan Headwind dengan persembahan lagu-lagu hits seperti Suraya, Segalanya Mungkin dan banyak lagi.
“Kemudian saya akan bawa pengunjung kembali ke era kegemilangan saya sekitar era 90-an dengan persembahan lagu-lagu nostalgia antaranya Hijau, Baba, Manis, Damai dan Ikhlas Tapi Jauh.
“Konsert itu juga akan menjadi pentas istimewa di mana buat pertama kalinya saya persembahkan lagu terbaru, Tiba Masa dan sebuah lagi single terbaharu yang akan dilancarkan serentak di semua platform media sosial pada malam itu nanti,” katanya.
Dalam masa sama, Zainal juga berkongsi tentang perancangannya untuk membuat kejutan menerusi persembahan lagu Hijau yang pertama kalinya diperdengarkan dalam versi asal.
“Lagu itu akan dinyanyikan saya bersama penulis dan pencipta lagu tersebut Mukhlis Nor,” katanya.
SEJARAH AWAL
Berkongsi sejarah awal, Zainal menceritakan zaman mudanya yang membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan.
Disebabkan kesempitan hidup, ibu bapanya memutuskan untuk menyerahkan Zainal kepada datuk dan neneknya.
“Datuk dan nenek saya merupakan ahli muzik di Johor. Hampir setiap hari saya dengar mereka bermain pelbagai jenis muzik termasuk tradisional.
“Saya kemudian berjinak-jinak dengan alat muzik, bermain trombone di sekolah dan menyanyi di majlis-majlis perkahwinan dan kelab malam,” kongsinya.
Kata Zainal, bakatnya ketika itu dihidu Datuk M. Nasir yang pada masa tersebut berada di Singapura.
“M. Nasir pada ketika itu sedang menubuhkan kumpulan Kembara. Pada masa sama, saya turut menerima lamaran Headwind yang mencari pemain trombone selain menggantikan penyanyi asal mereka yang ketika itu berpindah ke Jerman.
“Lagu-lagu Kembara tidak sesuai dengan jiwa saya, justeru saya membuat keputusan menyertai Headwind bermula sebagai pemain percussion dan trombone sebelum menjadi vokalis mereka,” kongsinya.
Selepas satu dekad bersama Headwind (1980 hingga 1990), Zainal memutuskan untuk membawa haluan sendiri, melebarkan sayap dalam dunia seni tanah air.
“Hala tuju muzik dipersembahkan Headwind ketika itu ditentukan syarikat rakaman yang menitik beratkan soal perniagaan menguntungkan.
“Saya merasakan saya mampu pergi jauh sekiranya saya berani ambil risiko. Jadi, saya bawa hala tuju secara solo, realisasikan hasrat zaman kanak-kanak untuk menggabungkan pelbagai muzik dalam lagu menerusi Hijau yang diterbitkan pada 1991,” ceritanya.
HIJAU
Lagu Hijau mempunyai pengaruh dan memberikan impak yang besar kepada rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Selain menjadi antara lagu terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang zaman, lagu ini juga mencatat sejarah tersendiri termasuk menjadi lagu pertama yang diputarkan di radio Era sewaktu memulakan siarannya pada 1 Ogos, 1998.
Zainal dalam pertemuan sempat berkongsi sejarah lagu tersebut yang menjadi antara lagu paling istimewa di hatinya.
“Ia ‘menjadi’ selepas lapan bulan diterbitkan kerana berdepan persaingan dengan genre-genre yang popular seperti rock balada dan dangdut.
“Ramai yang tak faham lagu itu ketika awal ia dikeluarkan. Namun sekarang, lagu Hijau menjadi malar segar sampai saat ini.
“Ia bukan sekadar lagu yang menyampai mesej kesedaran, malah menjadi lagu latar yang diterima baik seluruh rakyat pelbagai bangsa dan agama,” katanya.
KEJAR KUALITI, BUKAN POPULARITI
Selepas lebih enam tahun, Zainal memutuskan untuk mengeluarkan single baharu pada empat September depan.
Keputusan itu dibuat selepas sekian lama penyanyi ini sepi tanpa naskhah terkini.
“Saya bukan penyanyi yang setiap satu atau dua tahun keluar album atau single. Album terakhir saya adalah Puteri yang diterbitkan pada 2006.
“Saya tak kejar populariti, cuma berikan yang terbaik. Saya fokus pada produk terbaik yang boleh saya berikan.
“Tiba Masa saya keluarkan kerana sudah lama pendengar tidak disajikan dengan lagu yang lain daripada lain dan sarat seni, kata positif serta tidak berulang,” katanya.
Disoal tentang rahsia kejayaan, Zainal memaklumkan sikap dan disiplin kunci segalanya.
“Perangai dan disiplin boleh memusnahkan kalau tidak dijaga. Jadi, nasihat saya pada penyanyi baharu, datang tepat waktu ke setiap latihan dan persembahan.
“Jangan bersikap sombong atau terlalu cerewet. Sentiasa merendah diri.
“Ada artis baharu yang merasakan diri sudah popular jadi bersikap angkuh. Itu akan memusnahkan mereka. Mereka kena berdisiplin,” ujarnya.