KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hasan atau mesra dipanggil Tok Mat adalah calon paling sesuai untuk menggantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ‘selamatkan’ UMNO dari pupus dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, bukan sahaja sebagai Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat juga pernah membuktikan prestasinya semasa Ahmad Zahid berehat seketika.
Beliau yang terkenal sebagai penyokong kuat Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata, Tok Mat mengemudi beberapa PRN sehingga UMNO/BN menang besar dan selain bersih dari sebarang kes mahkamah, akar umbi UMNO juga senang dengan tindak-tanduk Tok Mat.
“Tok Mat boleh menggantikan Ahmad Zahid buat sementara waktu, tetapi Perhimpunan Khas Agung UMNO perlu diadakan untuk semua akar umbi meminta Ahmad Zahid letak jawatan.
“Pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu diadakan segera,” katanya di sini hari ini.
Semalam, penganalisis politik menzahirkan pendapat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempertimbangkan agar Tok Mat menggantikan Ahmad Zahid menerajui UMNO bagi memastikan kestabilan kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sebelum ini, Syed Muhammad Imran bersama sekumpulan penyokong Najib menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kernaa sudah hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid yang didakwa menjadikan seolah-olah parti itu milik individu.
Dalam pada itu, Syed Muhammad Imran turut mengecam ucapan Naib Ketua Pemuda UMNO, Hairi Mad Shah semalam supaya mengadakan satu retreat untuk pergerakan itu di sebuah pulau dan bukannya lokasi biasa di Janda Baik, Pahang.
Katanya, kepimpinan UMNO masih lagi memikirkan perkara yang tidak seharusnya dibuat sedangkan akar umbi UMNO perlu tindakan secara terus bagi menambah baik kualiti parti di mata masyarakat dan ahli akar umbi.
“Ahmad Zahid letak jawatan dan UMNO sedia menjadi pembangkang pada kerajaan sekarang. Ahli UMNO juga tidak mahu bersekongkol dengan DAP,” katanya. – UTUSAN